Bagaimana Menghadapi Realiti Dakwah Masyarakat

Masih saya ingat pada tahun 2009 bilamana ISMA mengambil keputusan bertekad untuk mengorak langkah memasuki amal masyarakat, para aktivis ISMA telah melalui satu seminar yang membentangkan dan membincangkan tentang beberapa fasa di jalan dakwah.

5 Fasa Jalan Dakwah

Fasa-fasa tersebut adalah Fasa Pembinaan, Fasa Pengukuhan, Fasa Pembukaan, Fasa Pertembungan dan Fasa Kemenangan. Kelima-lima fasa ini dengan susun atur seperti di atas memberi kepada kita gambaran ‘ringkas’ jalan dakwah. Namun secara hakikatnya kita tahu bahawa jalan dakwah tidaklah seringkas seperti yang disebutkan.

Jalan dakwah dengan gambaran 5 fasa ini mempunyai beberapa ciri yang perlu dipatuhi oleh organisasi dakwah. Pertama, setiap fasa awal perlu dilalui dengan semaksimanya sebelum melangkah ke fasa seterusnya. Sebarang kelalaian atau silap catur pada fasa yang lebih awal akan memberi kesan dan natijah yang tidak dicita-citakan. Kedua, apabila organisasi dakwah memasuki fasa baru, tanggungjawab amal fasa yang sebelumnya tetap perlu diteruskan. Sebuah organisasi yang telah memasuki Fasa Pembukaan pada masa yang sama tanggungjawab amal Fasa Pembinaan dan Pengukuhan tetap terus berjalan.

Sunnatullah Jalan Dakwah

Walau sehebat mana sekalipun sebuah organisasi dakwah menelusuri jalan dakwah dan mencermati aturan-aturannya, organisasi tersebut tetap tidak bebas dari Sunnah Allah di jalan dakwah. Akan datang tekanan, sekatan dan penindasan apabila berlaku pertembungan total antara kejahilan dan kebenaran. Akan timbul kedengkian, kebencian dan permusuhan akibat berbezanya pemilihan kaedah untuk membumikan agenda Islam. Kesemua dugaan kesusahan, kecelakaan, pergaduhan, ketewasan dan godaan ini akan datang silih berganti dengan satu tujuan sahaja. Yakni untuk mencari siapakah di kalangan umat Islam yang paling baik amalannya. Siapakah para pendakwah yang bijaksana dan ‘hikmah’ memilih langkah amal seterusnya dalam perjuangan fikrah Islam yang diimani.

Carilah mana-mana organisasi dakwah sekalipun, setiap satu organisasi ini tidak terlepas walaupun sedikit dari Sunnatullah di jalan dakwah ini, termasuklah juga ISMA.

Menghadapi Amal di Medan Masyarakat

ISMA telah pun melangkah di medan terbuka amal masyarakat dengan agenda Islam yang unik dan tersendiri. Dengan fokus utama Membangun Umat Beragenda di samping fokus semasa Melayu Sepakat Islam Berdaulat, kedua-dua agenda ini harus kita bumikan melalui perkataan dan perbuatan di medan amal masyarakat. Kita tidak boleh berundur kembali ke medan ‘senyap-senyap’. Kita hanya ada satu pilihan iaitu terus melangkah ke hadapan dengan berani kerana peluang amal ini mungkin tiada lagi selepas ini.

Semoga senarai semak amal ini dapat membantu memperkuatkan bekal para pendakwah dalam mendepani proses mengagendakan umat Islam di Malaysia.

1-Perkasakan amal tarbiyyah dan dakwah. Saya rasa setiap ikhwah dan akhowat telah begitu cakna tentang prinsip ini. Seorang teman pernah menasihati, “Jika mahu terus kekal (tsabat) di jalan dakwah, jangan pernah berhenti!”

2-Pertingkatkan penguasaan ilmu pengetahuan. Empat tunjang utama ilmu pengetahuan yang perlu dikuasai oleh para pendakwah sepertimana yang digariskan dalam buku Transformasi Pendakwah adalah (a) Ilmu Syariat – yang mencakupi Al-Quran, Hadis, Sirah, Feqah dan bahasa Arab; (b) Ilmu Pengkhususan Kerjaya – iaitu ilmu yang kita pelajari untuk kerjaya; (c) Ilmu Kemahiran Luar – iaitu kemahiran yang menyumbang kepada masyarakat; dan (d) Sejarah Malaysia.

3-Banyakkan membaca buku luar bidang pengajian di universiti. Pada masa yang sama, kurangkan membaca ‘blog’. Prof Dr Hamdi, Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya berkata, “Kerisauan saya ialah apabila kamu terlalu kerap membaca ‘blog’ tetapi meninggalkan buku – you will lose the flow of thoughts and ideas-“.

4-Teguhkan diri untuk terus bersabar, memaafkan kesalahan dan berdoalah selalu. Lupakah kita bahawa Imam Ghazali telah meletakkan dalam Kitab Ihya Ulumuddin bahawa kesabaran dalam ketaatan berada pada maqam yang paling tinggi? Lupakah kita bahawa seorang sahabat Rasulullah saw kedengaran tapak kakinya di Syurga kerana sentiasa memaafkan orang lain sebelum tidurnya? Dan lupakah kita bahawa, “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung”.