LGBT: Hak Asasi Individu atau ‘Penyakit’ Moral?

Era Globalisasi telah memperlihatkan perkembangan pesat umat manusia dalam pelbagai bidang sehinggakan bumi ini dirasai seperti dunia tanpa sempadan. Pertukaran budaya, gaya hidup, kemahiran teknologi dan maklumat yang berlaku dengan pantas telah memberikan kesan yang sangat positif bagi mana-mana negara di dunia. Namun, tanpa disedari setiap kebaikan yang datang dari Barat ini turut sama membawa malapetaka yang menyebabkan keruntuhan moral umat manusia. Di antara kebejatan moral Barat yang turut sama datang ke negara Islam adalah fenomena LGBT di kalangan umat Islam.

Apa Itu LGBT?

LGBT (singkatan kepada Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender) adalah istilah yang merujuk kepada perkumpulan manusia yang mempunyai orientasi seks songsang melangkau batas fitrah kemanusiaan. Komuniti LGBT ini pada dasarnya ditubuhkan untuk memperjuangkan hak-hak mereka yang dikatakan tertindas dan tidak bebas dengan berselindung di sebalik topeng akta hak-hak asasi manusia.

Di Malaysia, perkumpulan ini turut bertapak dan tanpa jemu memperjuangkan hak-hak mereka dengan menggunakan pelbagai kaedah. Antara contoh usaha yang paling ketara adalah acara tahunan Seksualiti Merdeka yang bertemakan Queer Without Fear. Melalui acara ini yang turut mendapat sokongan daripada United Nations dan Amnesty International, perkumpulan LGBT dengan lantang melaungkan akan hak-hak mereka untuk bebas memilih orentasi seks bebas dan tanpa sikap prejudis dari masyarakat.

Sejarah Ringkas LGBT

Jika dilihat sejarah umat manusia secara keseluruhannya, malapetaka seks songsang bukanlah penyakit moral yang baru. Di dalam Al-Quran, Allah swt telah menceritakan kewujudan perkumpulan manusia seperti ini dalam kisah Nabi Lut dan kisah kaum Sodom, yang akhirnya membawa kepada kemusnahan seluruh kaum akibat orientasi songsang mereka sendiri. Kemudian dari zaman kerasulan Nabi Muhammad saw sehinggalah zaman pemerintahan Kerajaan Turki Uthmaniyyah, tidak kedengaran perkumpulan seperti LGBT memperjuangkan hak-hak mereka. Ini kerana Islam yang sifatnya bersesuaian dengan kejadian manusia telah menghasilkan satu komuniti dunia yang bersih dan terjaga fitrahnya.

Sebaliknya, bermula dari Era Revolusi Perancis sehingga jatuhnya pemerintahan Turki Uthmaniyyah, masyarakat Barat yang pada awalnya berada dalam Zaman Kegelapan mula membebaskan diri dari ikatan beragama. Tindakan ini telah melahirkan satu masyarakat pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, yang menjadikan kehendak manusia tanpa batasan (humanisme) sebagai tuhan sehinggalah munculnya golongan yang mula berani memperjuangkan orientasi seks songsang berdalilkan kebebasan berkendak dan hak asasi manusia. Bermula dari sinilah penyakit moral ini mula tersebar ke seluruh dunia yang mana negara-negara Islam turut sama menjadi sasarannya termasuklah Malaysia.

Kenapa LGBT Boleh Terjadi?

Dr Rafidah Hanim Mokhtar, Naib Presiden II Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia (I-Medik) berkata penyakit moral LGBT merupakan natijah hasil didikan dan tidak mempunyai sumbangan faktor genetik sama sekali seperti yang didakwa oleh pejaung LGBT. Berjaya atau gagalnya ibu bapa memainkan peranan dalam mendidik anak-anak merupakan antara faktor utama kenapa LGBT begitu mudah bertapak dan berkembang di Malaysia. Pengabaian terhadap didikan agama mengikut acuan Islam secara khususnya telah melahirkan generasi yang lemah jatidiri dan mudah dipengaruhi oleh budaya-budaya kotor seperti LGBT. Pada masa yang sama, keruntuhan institusi keluarga dan kepincangan rumahtangga turut sama menjadi penyumbang kepada pengabaian didikan terhadap anak-anak.

Anak-anak yang terabai didikannya dan kekurangan kasih sayang akibat dari keluarga yang tidak stabil akan mencari perhatian dan belaian mesra di luar rumah. Mereka lebih selesa berada di luar berbanding berada di rumah dan ini mendedahkan mereka kepada faktor-faktor lain yang menyebabkan mereka terjerumus dalam penyakit LGBT. Ini termasuklah pengaruh pergaulan dengan rakan yang bermasalah, serangan pemikiran dan pengaruh budaya Barat melalui hiburan melampau dan pornografi yang akhirnya menghakis jatidiri dan merosakkan fitrah kemanusiaan.

Dampak Negatif LGBT

Tahukah anda bahawa penyakit AIDS yang disebabkan oleh HIV pertama kali dijumpai di kalangan komuniti yang mengamalkan seks songsang? Dengan berkembangnya perkumpulan LGBT ini maka tidak dapat tidak akan turut mempercepat penularan HIV dan peningkatan bilangan penghidap AIDS. Sehingga pada satu tahap, Allah swt akan mengazab masyarakat kita dengan mendatangkan penyakit baru yang lebih dahsyat kesannya dan sukar dicari penawarnya.

Di samping itu, berkembangnya penyakit moral LGBT juga akan meruntuhkan peranan institusi keluarga sebagai unit asas dalam pembinaan masyarakat. Pengamalan seks bebas sesama jantina tidak memungkinkan terbentuknya sebuah keluarga yang harmoni dan berperanan. Sebaliknya, budaya kotor ini akan memporak-porandakan masyarakat dan membentuk persekitaran yang tidak sihat untuk perkembangan generasi akan datang. Anak-anak akan menjadi keliru apabila melihat keluarganya mempunyai seorang ibu dan seorang bapa sedangkan jirannya ada dua orang bapa atau dua orang ibu.

Hak Asasi atau ‘Penyakit’ Moral?

Hari ini, golongan yang memperjuangkan LGBT begitu lantang menyuarakan hak dan meminta dunia mengiktiraf kebebasan berkehendak mereka sehinggakan suara mereka kedengaran di Majlis Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Di Malaysia, situasi yang sama turut berlaku. Penganjuran acara Seksualiti Merdeka begitu jelas menggambarkan kesungguhan mereka di samping sokongan kuat daripada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti SUARAM dan Malaysian Bar Council. Mereka bukan sahaja berselindung di sebalik slogan hak-hak asasi manusia sebagaimana yang digariskan dalam Pengisyhtiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, malah turut memanipulasikan Perlembagaan Malaysia mengikut tafsiran mereka sendiri. Namun persoalannya, adakah LGBT ini termasuk dalam hak asasi manusia atau ia sebenarnya adalah satu penyakit moral?

Islam sebagai garis panduan hidup bagi umat manusia telah mengharamkan perbuatan seks songsang ini sejak awal perutusan Rasulullah saw. Malah para nabi terdahulu turut terangkum dalam syariat yang diwahyukan kepada mereka akan pengharaman perbuatan tercela ini. Hikmah pengharaman ini bersesuaian dengan fitrah manusia yang cenderung ke arah jantina yang berlawanan dan membenci perbuatan yang bersifat kehaiwanan. Begitu juga dari sudut hak asasi manusia. Manusia yang sihat akalnya, suci fitrahnya dan jelas pandangannya sama sekali tidak akan mengiktiraf dan membenarkan LGBT terangkum dalam senarai hak-hak asasi manusia.

Kesimpulan

Jangan sesekali kita terpedaya dengan slogan-slogan yang memperjuangkan LGBT sebagai satu hak asasi individu kerana hakikatnya ia adalah suatu penyakit moral yang bercambah akibat kerakusan manusia mengikut hawa nafsu dan bertuhankan kebebasan berkedendak. Sebaliknya kita semua, termasuklah parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan, masyarakat dan individu, perlu berkerja keras untuk membendung penyakit moral ini dari terus berkembang di tanah air kita, Malaysia.

Apa Erti Kemerdekaan?

Mimbar jumaat menjadi perhatian,
Memberi ingat setiap insan,
Hari Kemerdekaan bukan sebarangan,
Merdeka nikmat anugerah Tuhan.

Hari jumaat hari kemuliaan,
Takdir Tuhan merdeka bersamaan,
Wahai anak dengarlah pesanan,
Hiburan terlampau tanda kesyukuran?

Rabie bin Amir tangkas di medan,
Rustum bertanya penuh kehairanan,
Apa tujuan datang ke perbatasan,
Kami datang perintah Tuhan.

Tombak dipacak seorang pahlawan,
Buat mengikat kuda hitam,
Bebas manusia dari segala perhambaan,
Hanya untuk Tuhan sekelian alam.

Ustaz Azhar diajukan soalan,
Apa itu erti kemerdekaan,
Bukan sekadar jasad dan badan,
Merdekakan juga jiwa dan fikiran.

Pesanan mimbar menguja perasaan,
Bagaimana cara zahirkan kegembiraan,
‘Gangnam Style’ bukanlah pilihan,
Sujud kemerdekaan tanda kesyukuran.

Oleh:
Naim Faiz b Ahmad Imran,
Jumaat 31 Ogos 2012,
Sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-55.

Pesan Abang Setulus Pejuang

Sempena Hari Kemerdekaan negara kita, saya kongsikan pantun pesanan dari sahabat saya.

Pantun ini dinobatkan sebagai juara kategori karya kreatif pada Sambutan Kemerdekaan ke-53 yang telah dianjurkan oleh ISMA-Australia pada 21 Ogos 2010.

Dari Sibu ke kota Sandakan,
Amanah ditanggung menuntut ilmu.
Mari adik abang kisahkan,
Sejarah agung asal usulmu.

Melukah ikan di Paya Bakong,
Dibuat lauk ketika bersahur,
Tahukah adik tawarikh agung,
Perihal babad Melaka yang masyhur?

Ikan bujuk ikan tilan,
Tenggiri bunga di mata jala,
Ulama dirujuk penegak keadilan,
Negeri sentosa rakyat terbela.

Mengira waktu menghitung saat,
Menanti berbuka di kedai warung.
Hukum Kanun berlandaskan syariat,
Islam tertegak agama dijunjung.

Hinggap jentayu di pohon mertas,
Mencari-cari dahan menasi.
Bahasa Melayu tersebar luas,
Dikongsi-kongsi hingga ke Parsi.

Bulan bukan sebarang bulan,
Bulan mulia dihujani rahmat,
Sultan bukan sebarang sultan,
Sultan adil berjiwa rakyat.

Manggis ranum kemerah-merahan,
Berbagai rupa sedap belaka,
Portugis menyerang bermati-matian,
Berakhirlah sudah kegemilangan Melaka.

Resmi sekadim bergaduh bercanda,
Badan sudah dua senyawa.
Angkara jahanam Inggeris Belanda,
Kaum serumpun terpecah dua.

Melalu denai melintas titi,
Meredah hutan memetik melati.
Jepun menentang separuh mati,
Watan dipertahan sepenuh hati.

Dari Langkasuka ke Putrajaya,
Tentangan ditepis menabur jasa,
Laungan Merdeka menggegar Malaya,
Kemuncak manis pejuang bangsa.

Negara ini bangsanya rencam,
Beruntungnya lahir di tanah bertuah.
Jangan kau lupa peristiwa hitam,
Rusuhan kaum menumpahkan darah.

Menahan kayu memasang pasak,
Disengat tebuan di hujung rimba.
Ketuanan Melayu dihentam diasak,
Siapa yang tuan, siapa yang hamba?

Bilangnya ajal merasa sayu,
Semadi jasad bernesan jawi,
Malangnya nasib berbangsa Melayu,
Menjadi hamba di tanah pertiwi.

Apa guna memetik cempaka,
Kalau bunga dimusnah sarang,
Apa guna erti merdeka,
Kalau jiwa dijajah orang.

Mencari kayu melumat rencah,
Herba ditambah pelazat ramuan.
Sesama Melayu umat berpecah,
Usah bicara soal kemajuan.

Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka.
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka.
– Burhanuddin al-Helmy-

Parang diasah menerang belukar,
Menyabit di sini menebas di sana.
Abang bermadah adik mendengar,
Moga menjadi iktibar bermakna.

Andainya abang menyimpang jalan,
Janganlah adik terikut leka,
Andainya abang syahid di medan,
Janganlah adik gundah berduka.

Ketika terasa lesunya iman,
Ingat kembali syiar Melaka,
Ayuh adik mara ke depan,
Kita semarakkan jiwa merdeka!

Hasil karya:
Ariff Izzuddin Bin Mohammad Redzuan
18 Ogos 2010/ 8 Ramadhan 1431 Hijrah

Bagaimana Menghadapi Realiti Dakwah Masyarakat

Masih saya ingat pada tahun 2009 bilamana ISMA mengambil keputusan bertekad untuk mengorak langkah memasuki amal masyarakat, para aktivis ISMA telah melalui satu seminar yang membentangkan dan membincangkan tentang beberapa fasa di jalan dakwah.

5 Fasa Jalan Dakwah

Fasa-fasa tersebut adalah Fasa Pembinaan, Fasa Pengukuhan, Fasa Pembukaan, Fasa Pertembungan dan Fasa Kemenangan. Kelima-lima fasa ini dengan susun atur seperti di atas memberi kepada kita gambaran ‘ringkas’ jalan dakwah. Namun secara hakikatnya kita tahu bahawa jalan dakwah tidaklah seringkas seperti yang disebutkan.

Jalan dakwah dengan gambaran 5 fasa ini mempunyai beberapa ciri yang perlu dipatuhi oleh organisasi dakwah. Pertama, setiap fasa awal perlu dilalui dengan semaksimanya sebelum melangkah ke fasa seterusnya. Sebarang kelalaian atau silap catur pada fasa yang lebih awal akan memberi kesan dan natijah yang tidak dicita-citakan. Kedua, apabila organisasi dakwah memasuki fasa baru, tanggungjawab amal fasa yang sebelumnya tetap perlu diteruskan. Sebuah organisasi yang telah memasuki Fasa Pembukaan pada masa yang sama tanggungjawab amal Fasa Pembinaan dan Pengukuhan tetap terus berjalan.

Sunnatullah Jalan Dakwah

Walau sehebat mana sekalipun sebuah organisasi dakwah menelusuri jalan dakwah dan mencermati aturan-aturannya, organisasi tersebut tetap tidak bebas dari Sunnah Allah di jalan dakwah. Akan datang tekanan, sekatan dan penindasan apabila berlaku pertembungan total antara kejahilan dan kebenaran. Akan timbul kedengkian, kebencian dan permusuhan akibat berbezanya pemilihan kaedah untuk membumikan agenda Islam. Kesemua dugaan kesusahan, kecelakaan, pergaduhan, ketewasan dan godaan ini akan datang silih berganti dengan satu tujuan sahaja. Yakni untuk mencari siapakah di kalangan umat Islam yang paling baik amalannya. Siapakah para pendakwah yang bijaksana dan ‘hikmah’ memilih langkah amal seterusnya dalam perjuangan fikrah Islam yang diimani.

Carilah mana-mana organisasi dakwah sekalipun, setiap satu organisasi ini tidak terlepas walaupun sedikit dari Sunnatullah di jalan dakwah ini, termasuklah juga ISMA.

Menghadapi Amal di Medan Masyarakat

ISMA telah pun melangkah di medan terbuka amal masyarakat dengan agenda Islam yang unik dan tersendiri. Dengan fokus utama Membangun Umat Beragenda di samping fokus semasa Melayu Sepakat Islam Berdaulat, kedua-dua agenda ini harus kita bumikan melalui perkataan dan perbuatan di medan amal masyarakat. Kita tidak boleh berundur kembali ke medan ‘senyap-senyap’. Kita hanya ada satu pilihan iaitu terus melangkah ke hadapan dengan berani kerana peluang amal ini mungkin tiada lagi selepas ini.

Semoga senarai semak amal ini dapat membantu memperkuatkan bekal para pendakwah dalam mendepani proses mengagendakan umat Islam di Malaysia.

1-Perkasakan amal tarbiyyah dan dakwah. Saya rasa setiap ikhwah dan akhowat telah begitu cakna tentang prinsip ini. Seorang teman pernah menasihati, “Jika mahu terus kekal (tsabat) di jalan dakwah, jangan pernah berhenti!”

2-Pertingkatkan penguasaan ilmu pengetahuan. Empat tunjang utama ilmu pengetahuan yang perlu dikuasai oleh para pendakwah sepertimana yang digariskan dalam buku Transformasi Pendakwah adalah (a) Ilmu Syariat – yang mencakupi Al-Quran, Hadis, Sirah, Feqah dan bahasa Arab; (b) Ilmu Pengkhususan Kerjaya – iaitu ilmu yang kita pelajari untuk kerjaya; (c) Ilmu Kemahiran Luar – iaitu kemahiran yang menyumbang kepada masyarakat; dan (d) Sejarah Malaysia.

3-Banyakkan membaca buku luar bidang pengajian di universiti. Pada masa yang sama, kurangkan membaca ‘blog’. Prof Dr Hamdi, Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya berkata, “Kerisauan saya ialah apabila kamu terlalu kerap membaca ‘blog’ tetapi meninggalkan buku – you will lose the flow of thoughts and ideas-“.

4-Teguhkan diri untuk terus bersabar, memaafkan kesalahan dan berdoalah selalu. Lupakah kita bahawa Imam Ghazali telah meletakkan dalam Kitab Ihya Ulumuddin bahawa kesabaran dalam ketaatan berada pada maqam yang paling tinggi? Lupakah kita bahawa seorang sahabat Rasulullah saw kedengaran tapak kakinya di Syurga kerana sentiasa memaafkan orang lain sebelum tidurnya? Dan lupakah kita bahawa, “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung”.

Ibu

 

Hari Ibu 13 Mei setiap tahun,
Hargai ibu setiap hari perintah Tuhan,
Doakan ibu 5x sehari selepas sembahyang,
Pahala ibu terus bertambah tidak berkurangan.

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”. [al-Isra’: 23-24]

Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: “Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”. [al-Ahqaf: 15]

Kaya Dunia Muflis Akhirat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ فَقَالَ إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ. (مسلم والترمذي)

Dari Abu Hurairah ra., bahawa Nabi saw., bersabda: “Tahukah kamu siapakah dia orang Muflis?” Sahabat-sahabat Baginda menjawab:  “Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda;” Nabi saw., bersabda: “Sebenarnya orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari qiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat,  sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini dan menuduh orang itu memakan harta orang ini, menumpah darah orang itu, dan juga memukul orang; maka akan diambil dari amal kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu; kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang dianiayakan serta ditimpakan ke atasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam Neraka.” (Muslim dan Tirmizi)

Hadis di bawah tajuk Beriman Kepada Adanya Hari Akhirat.

Kesatuan Ummat

Imej

Kesatuan Ummat

Kaedah fekah mengatakan ما لا يدرك جله لا يترك كله , yang bermaksud “Apa yang tidak diperoleh kesemuanya maka tidak ditinggal kesemuanya”, maka kesatuan yang difikirkan hampir mustahil itu wajib diusahakan walaupun sedikit, hatta sekadar kerjasama. Tiada alasan untuk meninggalkan perkara yang wajib ini. Mentaliti menyalahkan pihak lain samalah seperti perangai Bani Israel yang banyak soal apabila diarahkan menyembelih lembu oleh Allah.

Petikan dari Sampaikanlah Pandanganku Ini.