LGBT: Hak Asasi Individu atau ‘Penyakit’ Moral?

Era Globalisasi telah memperlihatkan perkembangan pesat umat manusia dalam pelbagai bidang sehinggakan bumi ini dirasai seperti dunia tanpa sempadan. Pertukaran budaya, gaya hidup, kemahiran teknologi dan maklumat yang berlaku dengan pantas telah memberikan kesan yang sangat positif bagi mana-mana negara di dunia. Namun, tanpa disedari setiap kebaikan yang datang dari Barat ini turut sama membawa malapetaka yang menyebabkan keruntuhan moral umat manusia. Di antara kebejatan moral Barat yang turut sama datang ke negara Islam adalah fenomena LGBT di kalangan umat Islam.

Apa Itu LGBT?

LGBT (singkatan kepada Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender) adalah istilah yang merujuk kepada perkumpulan manusia yang mempunyai orientasi seks songsang melangkau batas fitrah kemanusiaan. Komuniti LGBT ini pada dasarnya ditubuhkan untuk memperjuangkan hak-hak mereka yang dikatakan tertindas dan tidak bebas dengan berselindung di sebalik topeng akta hak-hak asasi manusia.

Di Malaysia, perkumpulan ini turut bertapak dan tanpa jemu memperjuangkan hak-hak mereka dengan menggunakan pelbagai kaedah. Antara contoh usaha yang paling ketara adalah acara tahunan Seksualiti Merdeka yang bertemakan Queer Without Fear. Melalui acara ini yang turut mendapat sokongan daripada United Nations dan Amnesty International, perkumpulan LGBT dengan lantang melaungkan akan hak-hak mereka untuk bebas memilih orentasi seks bebas dan tanpa sikap prejudis dari masyarakat.

Sejarah Ringkas LGBT

Jika dilihat sejarah umat manusia secara keseluruhannya, malapetaka seks songsang bukanlah penyakit moral yang baru. Di dalam Al-Quran, Allah swt telah menceritakan kewujudan perkumpulan manusia seperti ini dalam kisah Nabi Lut dan kisah kaum Sodom, yang akhirnya membawa kepada kemusnahan seluruh kaum akibat orientasi songsang mereka sendiri. Kemudian dari zaman kerasulan Nabi Muhammad saw sehinggalah zaman pemerintahan Kerajaan Turki Uthmaniyyah, tidak kedengaran perkumpulan seperti LGBT memperjuangkan hak-hak mereka. Ini kerana Islam yang sifatnya bersesuaian dengan kejadian manusia telah menghasilkan satu komuniti dunia yang bersih dan terjaga fitrahnya.

Sebaliknya, bermula dari Era Revolusi Perancis sehingga jatuhnya pemerintahan Turki Uthmaniyyah, masyarakat Barat yang pada awalnya berada dalam Zaman Kegelapan mula membebaskan diri dari ikatan beragama. Tindakan ini telah melahirkan satu masyarakat pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, yang menjadikan kehendak manusia tanpa batasan (humanisme) sebagai tuhan sehinggalah munculnya golongan yang mula berani memperjuangkan orientasi seks songsang berdalilkan kebebasan berkendak dan hak asasi manusia. Bermula dari sinilah penyakit moral ini mula tersebar ke seluruh dunia yang mana negara-negara Islam turut sama menjadi sasarannya termasuklah Malaysia.

Kenapa LGBT Boleh Terjadi?

Dr Rafidah Hanim Mokhtar, Naib Presiden II Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia (I-Medik) berkata penyakit moral LGBT merupakan natijah hasil didikan dan tidak mempunyai sumbangan faktor genetik sama sekali seperti yang didakwa oleh pejaung LGBT. Berjaya atau gagalnya ibu bapa memainkan peranan dalam mendidik anak-anak merupakan antara faktor utama kenapa LGBT begitu mudah bertapak dan berkembang di Malaysia. Pengabaian terhadap didikan agama mengikut acuan Islam secara khususnya telah melahirkan generasi yang lemah jatidiri dan mudah dipengaruhi oleh budaya-budaya kotor seperti LGBT. Pada masa yang sama, keruntuhan institusi keluarga dan kepincangan rumahtangga turut sama menjadi penyumbang kepada pengabaian didikan terhadap anak-anak.

Anak-anak yang terabai didikannya dan kekurangan kasih sayang akibat dari keluarga yang tidak stabil akan mencari perhatian dan belaian mesra di luar rumah. Mereka lebih selesa berada di luar berbanding berada di rumah dan ini mendedahkan mereka kepada faktor-faktor lain yang menyebabkan mereka terjerumus dalam penyakit LGBT. Ini termasuklah pengaruh pergaulan dengan rakan yang bermasalah, serangan pemikiran dan pengaruh budaya Barat melalui hiburan melampau dan pornografi yang akhirnya menghakis jatidiri dan merosakkan fitrah kemanusiaan.

Dampak Negatif LGBT

Tahukah anda bahawa penyakit AIDS yang disebabkan oleh HIV pertama kali dijumpai di kalangan komuniti yang mengamalkan seks songsang? Dengan berkembangnya perkumpulan LGBT ini maka tidak dapat tidak akan turut mempercepat penularan HIV dan peningkatan bilangan penghidap AIDS. Sehingga pada satu tahap, Allah swt akan mengazab masyarakat kita dengan mendatangkan penyakit baru yang lebih dahsyat kesannya dan sukar dicari penawarnya.

Di samping itu, berkembangnya penyakit moral LGBT juga akan meruntuhkan peranan institusi keluarga sebagai unit asas dalam pembinaan masyarakat. Pengamalan seks bebas sesama jantina tidak memungkinkan terbentuknya sebuah keluarga yang harmoni dan berperanan. Sebaliknya, budaya kotor ini akan memporak-porandakan masyarakat dan membentuk persekitaran yang tidak sihat untuk perkembangan generasi akan datang. Anak-anak akan menjadi keliru apabila melihat keluarganya mempunyai seorang ibu dan seorang bapa sedangkan jirannya ada dua orang bapa atau dua orang ibu.

Hak Asasi atau ‘Penyakit’ Moral?

Hari ini, golongan yang memperjuangkan LGBT begitu lantang menyuarakan hak dan meminta dunia mengiktiraf kebebasan berkehendak mereka sehinggakan suara mereka kedengaran di Majlis Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Di Malaysia, situasi yang sama turut berlaku. Penganjuran acara Seksualiti Merdeka begitu jelas menggambarkan kesungguhan mereka di samping sokongan kuat daripada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti SUARAM dan Malaysian Bar Council. Mereka bukan sahaja berselindung di sebalik slogan hak-hak asasi manusia sebagaimana yang digariskan dalam Pengisyhtiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, malah turut memanipulasikan Perlembagaan Malaysia mengikut tafsiran mereka sendiri. Namun persoalannya, adakah LGBT ini termasuk dalam hak asasi manusia atau ia sebenarnya adalah satu penyakit moral?

Islam sebagai garis panduan hidup bagi umat manusia telah mengharamkan perbuatan seks songsang ini sejak awal perutusan Rasulullah saw. Malah para nabi terdahulu turut terangkum dalam syariat yang diwahyukan kepada mereka akan pengharaman perbuatan tercela ini. Hikmah pengharaman ini bersesuaian dengan fitrah manusia yang cenderung ke arah jantina yang berlawanan dan membenci perbuatan yang bersifat kehaiwanan. Begitu juga dari sudut hak asasi manusia. Manusia yang sihat akalnya, suci fitrahnya dan jelas pandangannya sama sekali tidak akan mengiktiraf dan membenarkan LGBT terangkum dalam senarai hak-hak asasi manusia.

Kesimpulan

Jangan sesekali kita terpedaya dengan slogan-slogan yang memperjuangkan LGBT sebagai satu hak asasi individu kerana hakikatnya ia adalah suatu penyakit moral yang bercambah akibat kerakusan manusia mengikut hawa nafsu dan bertuhankan kebebasan berkedendak. Sebaliknya kita semua, termasuklah parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan, masyarakat dan individu, perlu berkerja keras untuk membendung penyakit moral ini dari terus berkembang di tanah air kita, Malaysia.