Nasihat Buat Bangsaku

Sedarlah wahai bangsa Melayu,
percakaran di kalangan kita tidak akan menguntungkan sesiapa,
apatah lagi kedudukan Islam di tanahair kita.

Walau apapun agenda perjuangan kita,
jangan sampai akhlak sampah yang mewarnainya,
jangan sampai ukhuwwah dijaja-jaja.

Wahai bangsa Melayu,
perpecahan yang berlaku di kalangan kita,
agama Islam-lah yang terkena calit kotornya,
walau sekeras mana kita ingin menafikannya.

Tahukah kamu wahai bangsa Melayu,
di tangan kamu kini terletak baton amanah,
dari warisan perjuangan mereka yang telah pergi,
untuk masa depan anak Melayu Islam di Malaysia.

Kerana itu,
bersatulah wahai bangsa Melayu,
mencapai kesepakatan demi agamamu.

Oleh:
Naim Faiz Ahmad Imran
Ahli Ikatan Muslimin Malaysia
“Membangun Umat Beragenda”
“Melayu Sepakat Islam Berdaulat”

Advertisements

6 April 1992: Peperangan Bosnia

Pada 6 April 2012 genaplah 20 tahun berlalunya tragedi hitam Peperangan Bosnia-Serbia. Warga Muslim Bosnia telah mengadakan satu majlis memperingati sejarah hitam ini dengan menyusun 11,541 buah kerusi kosong sebagai simbolik kepada kekejaman tentera Serbia yang telah membunuh lebih dari 100,000 Muslim Serbia semenjak peperangan tercetus pada April 1992.

Susunan kerusi-kerusi merah yang mewakili 11,54 orang yang dibunuh dalam pengepungan Sarajevo.

Kekejaman yang perit dialami oleh Muslim Bosnia sewajibnya difikirkan dan diambil pelajaran oleh umat Islam seluruhnya terutama umat Islam berbangsa Melayu, Cina dan India di Malaysia agar ketuanan Islam dipelihara dan kepimpinan Islam tidak dibiarkan berpindah tangan. Sejarah Peperangan Bosnia-Serbia perlu dijadikan pedoman dalam usaha kita mendaulatkan Islam di tanahair Malaysia di samping menjadi aset pengukuh terhadap peringatan Allah swt kepada orang yang beriman.

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” [2:120]

Jika mereka berjaya menguasi kamu, niscaya mereka bertindak sebagai musuh bagimu dan melepaskan tangan dan lidah mereka kepadamu dengan menyakiti(mu); dan mereka ingin supaya kamu (kembali) kafir. [60:2]

Sejarah Ringkas Bosnia, Kosovo dan Macedonia
Oleh Harun Yahya

1-Rakyat Balkan yang Sentiasa Dihimpit Peperangan

Sewaktu kita sedang menuju ke penghujung abad ke-20. dunia telah meyaksikan genocide paling dahsyat dan besar. Segalanya bermula pada 1992, dan sepanjang waktu itu beratus-ratus ribu manusia telah dihalau dari tanah sendiri, dibunuh, disumbat ke dalam kem-kem yang penuh sesak, dan didera dengan cara yang tidak berperikemanusiaan. Perkara yang paling jelas dan nyata tentang genocide ini, yang bermula di Bosnia dan kemudian berpindah ke Kosovo, ialah ia berlaku di hadapan seluruh penduduk dunia dan hanya bersebelahan sahaja dengan negara-negara Eropah.

Penyembelihan di Bosnia yang bermula pada 1992 hanya berakhir pada musim bunga 1995. Sepanjang tempoh tersebut telah berlaku kekejaman dan keganasan yang sukar dicari contohnya di dalam sejarah kehidupan manusia. Jumlah umat Islam Bosnia yang dibunuh oleh orang-orang Serbia adalah melebihi 200,000 orang. 2 juta orang telah diusir dari rumah mereka, dan kira-kira 50,000 umat Islam wanita telah dicabul keperawanannya. Perkara yang sama kemudian turut berlaku di Kosovo.

2-Memusnahkan Segala Tinggalan Empayar Turki Uthmaniyyah

Untuk memahami kezaliman yang dikenakan terhadap umat Islam Bosnia yang tidak bersalah, terlebih dahulu kita mesti memahami sejarah kawasan yang bergolak tersebut. Sudah diketahui ramai bahawa setelah pembubaran Persekutuan Yugoslavia, terdapat beberapa negara yang berasa kurang senang terhadap kawasan-kawasan yang memiliki ramai umat Islam yang cuba mendapatkan kemerdekaan. Penubuhan negara-negara Islam merdeka di tengah-tengah Eropah, dan kemungkinan untuk mereka menubuhkan sebuah kesatuan, membawa maksud kepada penubuhan tamadun Islam yang berhampiran dengan negara-negara Barat. Sebab itulah umat Islam di rantau Balkan dikenakan genocide oleh Serbia, dengan dibantu oleh sokongan-sokongan sulit oleh kumpulan-kumpulan pelobi anti-Islam yang sungguh efektif di beberapa negara-negara Barat dan berada pula di bawah payung keselamatan kumpulan-kumpulan pelobi ini.

Belum pun sempat manusia melupakan tragedi dahsyat yang berlaku di Bosnia-Herzegovinia, gelombang kedua kekejaman orang-orang Serb mula mengambil tempat. Kali ini latar tempatnya adalah di Kosovo, Yugoslavia. Apabila kita melihat peristiwa-peristiwa yang berlaku menurut perspektif sejarah, nampaknya Serb mahu menuntut bela di atas luka kekalahan yang dialami kira-kira 600 tahun sebelum ini. Orang-orang Serb di Kosovo melihat umat Islam Albania sebagai “penerus Empayar Turki Uthmaniyyah.” Oleh itu orang-orang Serb mula menjalankan polisi asimilasi, atau lebih tepat lagi, cuba memadamkan segala kesan Uthmaniyyah.

Kebencian Serb terhadap Uthmaniyyah bermula kira-kira 600 tahun yang lampau. Semasa Perang Kosovo Pertama, pada tahun 1389, Sultan Murat I telah ditikam oleh seorang berbangsa Serbia yang menyamar sebagai seorang utusan. Beliau kemudiannya mengalami cedera parah di bahagian barat laut Pristina dan akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah melihat kejayaan Uthmaniyyah. Kejayaan kedua Turki Uthmaniyyah di Kosovo berlaku pada 1448, apabila Sultan Murat II berjaya mengalahkan pasukan tentera Salib yang dipimpin oleh orang-orang Serbia. Berikutan kejayaan Perang Kosovo Kedua ini, sejumlah besar umat Islam Turki menduduki rantau Balkan.

3-Ketakutan Terhadap “Albania yang Lebih Hebat” dan Kosovo

Peta baru rantau Balkan yang telah dipersetujui bersama menerusi Perjanjian Versailles pada akhir Perang Dunia I telah menimbulkan satu fakta yang sangat menarik: Orang-orang Albania yang merupakan majoriti rantau Balkan tidak disatukan di dalam sebuah negara yang sama, sebaliknya mereka dibiarkan duduk berselerak di beberapa buah negara. Mengapakah orang-orang Albania tidak dibiarkan duduk bersama apabila peta baru rantau tersebut dilukis?

Jawapan kepada soalan tersebut terletak pada faktor asas yang mencetuskan segala konflik yang masih berterusan sehingga ke hari ini. Prospek penubuhan negeri “Albania yang Lebih Hebat”, yang terdiri dari umat Islam Albania, dianggap oleh beberapa buah kuasa antarabangsa sebagai sesuatu yang tidak menguntungkan pihak mereka. Sebab mengapa masalah yang sudah berdekad-dekad lamanya ini masih tidak dapat diselesaikan adalah berpunca daripada plot idea yang serupa. Jika kemerdekaan Kosovo diisytiharkan, “Albania yang Lebih Hebat” akan ditubuhkan sekali lagi di selatan Balkan.

Orang-orang Albania merangkumi kira-kira 95 peratus dari keseluruhan populasi Albania. Tambahan pula, terdapat juga kira-kira 35% populasi Albania di sempadan Macedonia, dan kira-kira 50,000 orang Albania pula tinggal di Montenegro. Di dalam Yugoslavia pula, kawasan Kosovo turut memiliki populasi orang-orang Albania yang agak besar.

Apa yang akan terjadi jika negara-negara yang berjiran tersebut bersatu, dan dengan itu membentuk “Albania yang Lebih Hebat” di tengah-tengah Eropah? Inilah yang menjadi ketakutan kepada kuasa-kuasa Barat.

Adalah perlu untuk dijelaskan bahawa ketakutan ini timbul lebih disebabkan oleh faktor agama berbanding faktor etnik. Seperti juga Bosnia, negeri tersebut turut memiliki ramai umat Islam yang dilihat sebagai “tidak diperlukan.”

Pencaturan yang masih diteruskan sehingga ke hari ini, telah memainkan peranan penting yang mempengaruhi proses pemetaan rantau Balkan selepas Perang Dunia I. Inilah sebabnya mengapa orang-orang Albania secara tidak rela hidup sebagai sebuah bangsa yang dipecah-pecahkan sejak dulu lagi.

Selepas Perang Dunia II, orang-orang Albania telah diperintah di bawah telunjuk rejim Komunis. Orang-orang Albania di Kosovo dan Macedonia kekal di sempadan Tito Yugoslavia, dan orang-orang Albania sendiri akhirnya berada di bawah genggaman rejim Enver Hoxha yang lebih zalim.

Berikutan kejatuhan komunisme kira-kira 40 tahun yang lampau, kuasa “Albania yang Lebih Hebat” dipandang sebagai sebuah kuasa yang berbahaya disebabkan oleh sifat Islamiknya. Kuasa komunis terdahulu dan fasis terbaru, Slobodan Milosevic menjadi orang pertama yang memulakan polisi ganas yang anti-Islam.

1 juta atau lebih umat Islam Kosovo yang lari dari penindasan Serbia terpaksa berhadapan dengan kesejukan, kelaparan, kehausan dan penyakit. Berpuluh-puluh ribu kehilangan nyawa, dan banyak lagi yang telah hilang.

Sebaik sahaja Milosevec mula memegang tampuk pemerintahan, beliau telah menamatkan autonomi yang telah pun dijanjikan kepada Kosovo sewaktu zaman Tito. Beliau mula menggunakan pendekatan fasis untuk menyalakan api nasionalisme orang-orang Serbia. Pendidikan tinggi di Kosovo dihalang dari diajar dalam bahasa Albania. Akhbar-akhbar yang diterbitkan dalam bahasa tersebut akan ditamatkan operasinya dan rakyat ditindas. Ini semua bertujuan supaya orang-orang Albania meninggalkan kawasan tersebut, dan akhirnya kira-kira 400,000 telah mengambil tindakan tersebut. Pada masa yang sama, wujud usaha untuk mengubah demografi kawasan dengan memasukkan orang-orang Serb. Mereka mahu men”Serbia”kan kawasan tersebut dengan menghalau umat Islam Albania yang membentuk populasi kira-kira 90 peratus banyaknya. Mereka malah turut mengoyakkan surat ikatan harta dan mencantumkan dokumen-dokumen untuk memadamkan identiti budaya umat Islam. Pada 1989, autonomi Kosovo telah dibatalkan sama sekali. Setiap hari, Milosevic mengenakan sekatan-sekatan baru di kawasan tersebut. Orang-orang Albania terus menunjukkan penentangan yang bersifat kedamaian terhadap segala penindasan yang dikenakan ke atas mereka, dan di bawah pimpinan Ibrahim Rugova, mereka telah memulakan kempen yang berdasarkan perlembagaan untuk memenangi semula hak-hak mereka. Orang-orang Albania yang telah hidup lama di bawah sistem penindasan yang tidak memiliki sebarang hak dan telah menjadi sasaran projek asimilasi, akhirnya telah berjaya menarik perhatian rakyat dunia setelah mereka menjadi mangsa proses pembersihan etnik. Serb telah meletakkan pasukan polis dan askarnya di kawasan itu. Pasukan-pasukan ini telah menyerang penduduk yang tidak bersenjata dengan menggunakan senjata-senjata berat. Kempen pembersihan etnik bermula pada 27-28 Februari 1998. Keagresifan Serb telah dihentikan oleh operasi NATO pada 24 Mac 1999. Namun demikian operasi menyelamat yang agak lewat dilakukan ini telah cukup untuk memberitahu kita bahawa penderitaan yang cukup besar telah dialami oleh orang-orang Albania Kosovo.

Gambar-gambar yang menunjukkan apa yang sedang berlaku di Kosovo telah dipampang di dada-dada akhbar, namun dunia masih berdiam diri. Pengkebumian beramai-ramai, rumah-rumah dibakar, dan bayi-bayi dibunuh di dalam buaian tidak membawa apa-apa kesan bagi kebanyakan manusia.

4-Bosnia: Pembunuhan Beramai-ramai di Mata Dunia

Apabila Sarajevo menjadi sebahagian daripada wilayah Turki Uthmaniyyah pada 1463, ia turut mempunyai hubungan dengan agama Islam. Ia terus berada di bawah kuasa Turki Uthmaniyyah selama kira-kira 400 tahun. Sepanjang tempoh yang cukup panjang ini, Slavs yang mempunyai hubungan dengan mazhab Kristian yang dipanggil “Bogomils” dan tinggal di kawasan Bosnia-Herzegovina, telah memeluk Islam dengan kerelaan hati mereka sendiri. Dengan itu, umat Islam muncul di Bosnia, di tengah-tengah Semenanjung Balkan. Berikutan dengan Perjanjian Berlin pada 1878, Bosnia telah diberikan kepada Empayar Austria-Hungary, walaupun ia masih sebahagian daripada kawasan Turki Uthmaniyyah. Namun akhirnya ia telah ditawan pada 1908, dan Bosnia tidak lagi berada di bawah pemerintahan Islam. Orang-orang Islam melihat pemergian Turki Uthmaniyyah dengan penuh kesedihan kerana mereka telah membayangkan penganiyaan dahsyat yang bakal diterima di bawah sistem pemerintahan baru. Sesungguhnya tidak lama selepas pengunduran Turki Uthmaniyyah, serangan dan gangguan terhadap umat Islam pun bermula.

Selepas Perang Dunia I, “Kerajaan Serbia, Crotia dan Slovenia” telah ditubuhkan, dengan itu telah mengumpulkan kesemua komuniti Slavs di kawasan tersebut. Bosnia-Herzegovina turut menjadi sebahagian daripada kerajaan tersebut. Pada 1929, Kerajaan Yugoslavia jatuh ke tangan Kristian Ortodoks Serbia. Sehingga Perang Dunia II, umat Islam Bosnia telah dicuri harta-benda mereka dan diawasi dengan begitu teliti sekali.

Semasa Perang Dunia II, kawasan tersebut telah dijajah oleh Jerman. Tahun peperangan tersebut telah menyaksikan kira-kira 100,000 umat Islam yang terkorban dalam siri-siri serangan di bandar-bandar dan perkampungan Bosnia. Serangan-serangan tersebut dilakukan oleh pejuang-pejuang ultra-nasionalis (Chetniks). Pihak komunis telah memainkan peranan utama dalam penentangan terhadap Nazi, dan apabila perang tamat mereka mula mengambil-alih hal-ehwal pengurusan negara tersebut. Polisi penindasan terhadap umat Islam bangkit semula apabila komunis mula berkuasa. Yayasan-yayasan Islam diambil-alih, masjid-masjid dan sekolah-sekolah agama dirampas, dan kempen intensif tentang propaganda ateis begitu rancak dijalankan. Kesannya, satu bahagian daripada populasi umat Islam telah dipaksa berpindah ke Turki dan negara-negara Eropah lain.

Apabila Perjanjian Perang Dingin Warsaw tamat, sebuah referendum telah diadakan pada 1 Mac 1992, dan Bosnia-Herzegovina mengisytiharkan kemerdekaannya. Walau bagaimanapun, Serb telah menawan negara tersebut dan menjalankan penyembelihan selama tiga tahun. Jumlah umat Islam Bosnia yang dibunuh oleh Serb dalam tempoh tiga tahun itu tidak kurang dari 200,000 orang. Kira-kira 2 juta umat Islam dihalau keluar dari rumah mereka. 50,000 wanita Islam telah dirogol. Umat Islam yang dihantar ke kem-kem tahanan milik Serb telah dikenakan penderaan yang amat dahsyat, dan berpuluh-puluh ribu daripada mereka telah lumpuh.

Beberapa kes penyeksaan di sana yang dilaporkan oleh umat Islam kepada Kenyataan Tribunal Jenayah Perang Antarabangsa PBB dengan jelas menunjukkan tahap penganiyaan yang telah dilakukan oleh Serb. Sebagai contoh, berdasarkan kepada keterangan Sulejman Besic yang berusia 46 tahun, seorang Chetnik yang dipanggil Dusan Tadic telah pergi menemui seorang wanita Islam dan menjerit kepadanya untuk memberitahu di mana suaminya berada. Dia kemudian mengarahkan wanita tersebut supaya menanggalkan pakaiannya, dan mengancam akan membunuhnya jika dia enggan berbuat demikian. Dalam menangis, dia mula membuka pakaiannya di hadapan mata pistol. Namun demikian tidak kurang seminit selepas iu, Tadic menembaknya di kepala. Kemudian dia membawa anak lelaki wanita tersebut yang mana selama adegan ngeri ini berlaku, dia terbaring tidak berapa jauh dalam keadaan tangannya diikat. Anak lelaki itu kemudian disuruh merogol ibunya yang sudah mati. Di kemudian menangis dengan sekuat-kuatnya, dan akhirnya dengan segera ditembak mati oleh Dusan Tadic.

Badan kaku yang mati akibat dibunuh dibiarkan begitu sahaja dalam masa yang lama. Menurut Sulejman Besic, tiada apa yang menghairankan tentang perkara tersebut di kem-kem tahanan yang penuh sesak. Menurutnya lagi, ramai umat Islam yang cedera berada dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Ada di antara mereka yang terbaring tidak sedarkan diri dengan ulat-ulat mengerumuni luka-luka yang terdedah. Bau busuk dari mayat-mayat yang dibiarkan ditempat terbuka dan ulat-ulat yang mengerumuninya amat meloyakan.

Besic telah menyaksikan semua ini sewaktu dia dikurung di Kem Trnopolje, dan beliau memberitahu pengalamannya kepada Tribunal Jenayah Perang Antarabangsa di Hague, yang ditubuhkan untuk menyiasat jenayah-jenayah perang di Yugoslavia yang dahulu dan juga menyiasat para suspek. Perkara-perkara dahsyat yang disaksikan dan dialami olehnya hanyalah beberapa contoh daripada ribuan penyeksaan dan penyembelihan sistematik yang dikenakan ke atas umat Islam oleh Serbia di Bosnia.

Penyembelihan dan pembersihan etnik yang begitu lama di Bosnia mungkin sudah semakin sampai ke penghujungnya. Namun ia telah meninggalkan satu tragedi kemanusiaan yang sungguh mengerikan. Serb mengajukan ancaman-ancamannya, dan bertindak-balas terhadap kebangkitan Islam di Bosnia dengan kekejaman yang begitu dahsyat, yang dijalankan di hadapan mata penduduk dunia.

Harapan kami ialah rakyat Bosnia, yang dikenakan genocide kejam hanya kerana mereka beragama Islam, akan mendapat sokongan secara aktif dan praktikal dari mereka yang berkesedaran di segenap lapisan masyarakat, terutama sekali dari dunia Islam untuk membantu mereka memulihkan keadaan.


Sewaktu Perang Bosnia, jalanan menjadi tanah perkuburan. Perkuburan beramai-ramai yang digali satu demi satu selepas perang memberikan gambaran jelas tentang dimensi genocide yang berlaku. (Gambar kanan) Sebuah perkuburan beramai-ramai yang dijumpai di Srebenica pada tahun 1996.

Sumber:
1-http://ms.harunyahya.com/, “Zaman Kegelapan Islam dan Ketibaan Era Kebangkitan Islam”
2-http://www.radioaustralia.net.au/indonesian/, “Bosnia memperingati 20 tahun dimulainya perang”

Fahami Asobiyyah Melayu, Islam

MUKADIMAH

TIADA satu bangsa pun yang sempurna sepenuhnya. Ini tidak bermakna kita membangsakan agama, sebagaimana yang difahami oleh setengah pihak. Umpama Yahudi menyamakan agama Yahudi dengan bangsa Yahudi.

Hakikatnya kita tidak membangsakan agama Islam atau mengagamakan bangsa. Islam adalah agama dan Melayu adalah bangsa.

Kekeliruan ini dikupas oleh Presiden lkatan Muslimin Malaysia (ISMA) ABDULLAH ZAIK ABDUL RAHMAN ketika diwawancara oleh Pengarang Utusan Online, LUKMAN ISMAIL.

ISMA mempunyai cawangan di seluruh negara ini termasuk di luar negara. Dengan ahlinya menghampiri 20,000 orang ia menggabungkan kelompok ulama, ilmuwan, profesional, teknologis dan pelbagai bidang lain yang mempunyai potensi sebagai sebuah gerakan Islam masa depan.

Ia mengambil pendekatan wasatiyyah dan sentiasa menghubungkan Melayu dengan Islam sebagai arus dakwah dan tarbiah. Abdullah Zaik adalah lulusan Universiti Al-Azhar dan berjuang sepenuh masa dalam ISMA.

Imej

UTUSAN: Selalu berbangkit isu Melayu dan Islam diperkatakan oleh ramai pihak. Di mana saling hubung antara kedua-duanya dan mengapa takrif Melayu dalam Perlembagaan menyebutkan tentang Islam?

ABDULLAH ZAIK: Yang pertama saya bersyukur kepada Allah kerana dilahirkan dari keturunan Melayu beragama Islam. Saya berbangga dengan peranan yang telah dimainkan oleh bangsa Melayu dalam mengembangkan Islam di rantau ini dan menyumbang kepada kemajuan Islam di seluruh dunia. Bangsa Melayu telah diiktiraf menjadi bangsa Islam sehingga masuk Islam pada satu masa dahulu difahami sebagai masuk Melayu. Ini bagi saya satu pencapaian bersejarah yang perlu dibanggakan apabila Islam begitu berdarah daging dengan jati diri Melayu.

Umpama apabila kita menyebut Arab, orang akan memahaminya sebagai bangsa yang beragama Islam. Kita telah berjaya menampilkan Melayu dengan identiti yang sama dan bagi saya ini adalah satu pencapaian yang telah diusahakan oleh generasi terdahulu. Usaha ini perlu kita pertahankan. Sebab itulah saya sangat kecewa apabila akhir-akhir ini di atas apa-apa sebab, wujud dalam kalangan umat Islam sendiri yang cuba memisahkan Melayu daripada Islam.

Adakah kerana sebahagian daripada orang Melayu melakukan dosa, maksiat atau tingkah laku sebahagian mereka tidak menepati Islam maka kita mahu memisahkan Islam daripada Melayu? Sebenarnya kejahilan yang sama, dosa yang sama dilakukan oleh semua umat di atas muka bumi ini. Tiada satu bangsa pun yang sempurna sepenuhnya. Ini tidak bermakna kita membangsakan agama, sebagaimana yang difahami oleh setengah pihak. Umpama Yahudi menyamakan agama Yahudi dengan bangsa Yahudi.

Hakikatnya kita tidak membangsakan agama Islam atau mengagamakan bangsa. Islam adalah agama dan Melayu adalah bangsa. Tetapi kita berbangga berdarah dagingnya hubungan antara Melayu dan Islam kerana peranan Melayu di rantau ini sepanjang sejarah mengambil milikan (ownership) dalam mempertahan dan mengembangkan Islam. Seperkara lagi, apabila kita bercakap tentang hubungan Islam dengan bangsa, kita perlu memahami hakikat bahawa Islam tidak tertegak dengan sendiri tetapi Islam akan tertegak pada kumpulan manusia dalam kehidupan satu bangsa atau satu umat. Apabila kita bercakap tentang perjuangan Islam dan cuba menolak hubungannya dengan peranan satu bangsa atau umat yang memperjuangkan Islam, itu satu bentuk kebodohan yang nyata atas nama Islam.

Satu lagi bukti betapa akrabnya hubungan Melayu dengan Islam ini, sehingga Melayu dianggap sebagai identiti perlembagaan. Maksudnya Melayu ini bukan sahaja dilihat kepada keturunan tetapi ia merujuk kepada elemen-elemen yang termaktub dalam perlembagaan yang meletakkan tiga perkara sebagai komponen keperibadian Melayu iaitu Islam, bahasa dan adab resam.

Bagi saya ini adalah satu pencapaian yang telah dicapai oleh orang yang terdahulu. Merungkai semula hakikat ini dengan memisahkan Melayu daripada Islam adalah langkah mundur ke belakang yang tidak sewajarnya dilakukan oleh seorang manusia Melayu yang bangga dengan diri dan asal usulnya.

Apa yang mendorong sesetengah pihak mengatakan memperjuangkan Melayu itu adalah asabiah kaum dan ia adalah tidak Islam?

ABDULLAH ZAIK: Bagi saya tanggapan ini timbul kerana kejahilan terhadap sejarah Islam dan memahami nas mengikut konteks yang sebenar. Yang pertama, dalam sejarah Islam, ketua kaum atau mana-mana individu kaum yang menganut Islam akan berdakwah kepada kaum mereka, menjadikan kaum mereka sebagai kaum yang mempertahankan Rasulullah SAW dalam memperjuangkan Islam. Kaum ini menjadikan diri mereka sebagai tentera dalam memperjuangkan Islam.

Itulah yang terjadi kepada semua ketua kaum yang memeluk Islam. Mereka kembali kepada kaum mereka, menyeru kepada Islam dan membawa mereka untuk bersama-sama memperjuangkan dan mempertahankan Islam. Islam tidak pernah menghapuskan identiti kaum dalam sejarah. Rasulullah SAW tidak pernah menghapuskan identiti kaum dengan sebab mereka menganut agama Islam. Bahkan struktur kaum itu wujud dalam sistem politik Islam daripada zaman awal Rasulullah SAW sehinggalah ke zaman mutakhir ini.

Kita perlu membezakan antara dua perkara, antara peranan bangsa dalam struktur politik sebagai alat dan wasilah dengan bangsa sebagai matlamat. Yang tidak dibenarkan oleh syariat ialah bangsa sebagai matlamat. Peranan bangsa dalam sistem politik Islam adalah suatu yang diiktiraf. Dalam konteks inilah kita harus memahami maksud asabiah dengan maksud yang positif.

Kita perlu memahami celaan Rasulullah SAW terhadap assabiah dalam konteks yang betul. Rasulullah SAW menyebut assabiah yang dilarang ialah apabila kamu membantu kaum kamu atas kezaliman. Assabiah dengan maksud ini, boleh kita terjemahkan sebagai fanatisme, yang bukan sahaja sebenarnya dalam bentuk kaum tetapi dalam bentuk parti atau pertubuhan. Apabila kita taksub fanatik kepada kumpulan kita sehingga kita menolak kebenaran ataupun menafikan kumpulan lain, ia termasuk dalam kategori assabiah yang dilarang oleh Rasulullah SAW.

Masalahnya apabila kita tidak faham assabiah dalam makna yang betul, kita ter jebak dalam assabiah tanpa kita sedari.

Perjuangan ISMA adalah untuk mendaulatkan Islam dan bangsa Melayu dan umat manusia umumnya. Bagaimana ia seharusnya berlaku dalam konteks Malaysia?

ISMA memperkenalkan slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat (MSIB) sebagai manifestasi kepada satu gagasan gerak kerja. Setengah orang yang tidak memahami hakikat pertembungan kuasa dalam percaturan politik lantas menafikan peranan bangsa dalam menegakkan Islam. Mereka tidak memahami bagaimana percaturan politik itu berlaku, bagaimana percaturan antara kuasa-kuasa, mungkin tidak dapat menyelami rahsia kekuatan di sebalik slogan ini. Melihat dalam konteks Malaysia ini, Islam dapat didaulatkan. Dalam konteks itu kita meletakkan Melayu sebagai alat bukan sebagai objektif ke arah mencapai tujuan untuk mendaulat Islam. Perkataan daulat bermaksud menegarakan Islam.

Dalam konteks percaturan hari ini, hanya dengan kekuatan bangsa Melayu dan ke satuan mereka sahaja, agenda mendaulatkan Islam sepenuhnya akan berlaku. Slogan ini adalah dalam konteks strategi politik, bagaimana kita secara politiknya dapat memainkan peranan dalam percaturan antara agenda-agenda. Slogan ini bukanlah satu pernyataan akademik atau satu yang bersifat konseptual semata-mata.

Setengah orang yang tidak memahami hakikat pertembungan kuasa dalam percaturan politik lantas menafikan peranan bangsa dalam menegakkan Islam. Mereka tidak memahami bagaimana percaturan politik itu berlaku, bagaimana percaturan antara kuasa-kuasa, mungkin tidak dapat menyelami rahsia kekuatan di sebalik slogan ini. Sesetengahnya menganggap bahawa dengan slogan ini, ISMA menyeru kepada bangsa, atau menganggap ISMA mengeksklusifkan Islam kepada bangsa Melayu.

Saya ingin jelaskan bahawa slogan ini tidak berkaitan dengan topik dakwah atau kepada siapa kita berdakwah tetapi ini merupakan strategi berteraskan fikrah Islam, berdasarkan fakta realiti bagaimana peranan bangsa Melayu sebagai umat Islam yang majoriti di sini boleh memainkan peranan penentu dalam menentukan hala tuju politik negara. Ia bukan soal mengeksklusifkan Islam kepada bangsa Melayu, tetapi soal realiti. Agenda umat Islam dan agenda umat Melayu adalah secara realitinya satu yang hampir keseluruhannya sama.

Apabila kita menyebut tentang permasalahan umat Islam, bermakna 90 peratus merujuk kepada bangsa Melayu. Begitu juga apabila kita menyebut tentang masa depan Islam, 90 peratus merujuk kepada bangsa Melayu. Ini tidak menafikan hak bangsa-bangsa lain yang beragama Islam daripada umat Islam.

Sekiranya kita sebut umat Islam secara umum tanpa menyentuh perkataan Melayu, mungkin merujuk kepada bangsa Arab, bangsa Turki atau bangsa China atau India. Apabila kita bercakap tentang realiti politik Malaysia tanpa menyebut siapakah yang berkenaan secara spesifik, mungkin orang akan silap tafsir dan mungkin kita bercakap pada orang yang tidak berkenaan.

Usaha penubuhan Jalur Tiga (Jati) adalah usaha memelihara kedudukan Islam, Melayu dan Institusi Raja di Malaysia. Apakah kemunculan Jati boleh menjadi faktor mempersatu umat secara jangka panjang?

Kemunculan Jati adalah suatu yang tepat pada waktunya, di waktu mana rata-rata umat Islam dan orang Melayu merasa terancam dan tergugat kedudukan mereka. Ia akan mengisi inspirasi orang Melayu khususnya dan umat Islam amnya untuk memastikan kepentingan mereka tidak terancam disebabkan kerakusan pertembungan politik yang berlaku di tanah air. Islam, Melayu dan Raja (IMR) adalah tiga komponen teras yang menjadi asas kepada pembentukan Perlem bagaan Malaysia.

Isu IMR ini adalah merupakan isu paksi di mana kontrak sosial dalam konteks hubungan antara kaum di Malaysia ini digubal. Islam dengan kedudukannya, Melayu dengan hak-haknya dan institusi Raja dengan peranannya. Haruslah dijunjung dan dihormati oleh semua kaum yang ingin tinggal di negara ini.

Apabila akhir-akhir ini, terdapat usaha dari luar dan dalam yang ingin mencabar dan menggugat tiga perkara ini, ia tentunya menyentuh jantung hati umat Islam khususnya orang Melayu keseluruhannya. IMR adalah noktah perkongsian yang merangkumi kepentingan orang Melayu dan umat Islam seluruhnya. Dengan menjadikan tiga perkara ini sebagai asas atau landasan perjuangan, in akan menjadi unsur penyatuan kepada seluruh umat.

Sumber: Utusan Malaysia, 6 Mac 2012

Cekal Hati Hadapi Musibah

Sepanjang penghidupan kita di dunia, kita akan sentiasa diuji. Diuji tanpa henti sehingga terbukti siapakah yang paling baik amalannya di sisi Allah swt. Diuji sehingga terbentuklah individu-individu yang layak mengisi Syurga al-Firdaus. Diuji sehingga kita masuk ke liang lahad masing-masing. Sungguh ujian yang tidak akan pernah berhenti.

Ujian datang dari Allah swt silih berganti. Kita diuji dengan kelaparan dan kesempitan agar kita menyelami perasaan saudara muslim yang fakir miskin. Kita diuji dengan kesenangan dan kemewahan agar kita mengguna sebaiknya pemberian tersebut untuk masuk ke Syurga al-Firdaus. Kita diuji dengan musibah berat yang menyempit dada agar terhapus dosa-dosa kecil. Sehinggalah kita berjumpa dengan Allah swt dalam keadaan bersih suci.

Kala kita diuji manusia yang lemah akan menghadapinya dengan pelbagai reaksi. Marah. Putus asa. Kecewa. Sangka buruk. Air mata. Namun tiadalah sebaik-baik cara untuk kita berhadapan dengan ujian yang datang dari Allah swt melainkan penawar yang telah diajar oleh Allah swt sendiri.

Imej

(Yaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan: “Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, karena itu takutlah kepada mereka”, maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung”.

Saya doakan semoga sahabat saya yang sedang menghadapi musibah dikuatkan kecekalannya oleh Allah swt dengan doa ini. Semoga dia berjaya menghadapi ujian ini sepertimana telah berjayanya Nabi Ibrahim as menghadapi kezaliman Namrud.

Kenali Liberalisme

Dengan berselindung di sebalik hak asasi manusia, para pendokong liberalisme memperjuangkan kebebasan individu yang mutlak tanpa sekatan atau dengan sekatan yang paling sedikit. Mereka mempunyai gagasan yang menyatakan bahawa individu lebih penting dari masyarakat dan setiap individu bebas dari ikatan agama.

Serangan pemikiran liberal yang kuat mengancam dan menghakis kefahaman Islam yang sahih di kalangan umat Islam Malaysia ketika ini merupakan rentetan daripada serangan pemikiran. Fahaman liberal ini yang dahulunya dipelopori oleh pemikir Barat semasa Zaman Renaissance dan para orientalis semasa perkembangannya, tanpa sedar atau tidak atau kerana terpesona dengan ketamadunan yang dicapai oleh negara Barat, kini didokong pula oleh sebahagian umat Islam sendiri. Perkembangan ini dilihat berbahaya terhadap umat Islam apabila fahaman liberal ini mula disinonimkan dengan Islam melalui istilah Islam Liberal.

Umar al-Khattab ra pernah menasihati kaum muslimin bahawa “akan terungkailah ikatan Islam satu persatu dari seorang yang lahir membesar di dalam Islam tetapi tidak mengenali jahiliyyah“. Oleh itu, menjadi kewajipan kita umat Islam untuk mengenali apakah ciri-ciri musuh Islam yang membawa fahaman liberal ini di samping mempelajari dan mengamalkan Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw.

Ustaz Riduan Mohamad Nor dalam buku karangannya ‘Islam Liberal dan Pluralisme Agama’ telah menggariskan 9 bentuk pemikiran yang diperjuangkan oleh pendokong fahaman liberal.

1. Memperjuangkan pluralisme agama. Pendokong fahaman liberal menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni menyembah Tuhan yang satu dan semuanya membawa ke jalan kebenaran. Akibatnya timbullah kes seperti Sambutan Kongsi-Raya antara agama yang difatwakan haram oleh Muzakarah Ulama 2006 di Perak.
2. Mendesak agar diberikan hak kebebasan untuk murtad kepada orang Islam. Mereka memperjuangkan ide ini seperti yang terjadi dalam kes Lina Joy kerana terpengaruh dengan konsep Hak Asasi Manusia tajaan Barat yang memutlakkan hak kebebasan individu dalam beragama, di samping kejahilan mereka menafsirkan Al-Qur’an dan Hadis mengikut citarasa mereka seperti ayat 256 surah al-Baqarah. Perjuangan mereka diperhebatkan lagi dengan penubuhan Inter-Faith Council (IFC) yang cuba menghakis ajaran Islam yang dilihat bertentangan dengan ide kebebasan beragama mereka.
3. Menyatakan Al-Qur’an perlu ditafsir semula agar selari dengan peredaran zaman. Pendokong fahaman liberal mengatakan bahawa Al-Qur’an perlu ditafsirkan semula tanpa terikat dengan tafsiran ulama terdahulu yang sudah ketinggalan zaman. Mereka berpendirian bahawa pentafsiran baru bagi Al-Qur’an tidak perlu terikat dengan disiplin ilmu tafsir dan memadai hanya dengan akal serta rasional semata-mata.
4. Mempertikati syari’at dan hukum Allah swt dengan hujah rasional seperti hukum faraid, poligami, kewajipan bertudung bagi wanita, hukuman bunuh bagi orang murtad, hukum hudud, hak suami mencerai isteri dan larangan berkahwin antara orang Islam dan bukan Islam.
5. Menolak penguatkuasaan undang-undang moral berteraskan agama. Mereka mengatakan bahawa undang-undang tersebut melanggar kebebasan dan hak asasi manusia serta mendesak pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Negeri supaya tidak menggunakan pendekatan undang-undang untuk mengawasi akhlak rakyat.
6. Mendokong gerakan pembebasan wanita (feminisme). Mereka menyeru agar wanita Islam mencontohi wanita Barat dan menuntut persamaan hak antara lelaki dan wanita seperti pembahagian harta pusaka, poligami, hak penceraian serta menentang pakaian menutup aurat.
7. Meragui kesahihan sebahagian teks Al-Qur’an dan penyusunannya dengan mengatakan bahawa teks Al-Qur’an telah dicemari dan ditambah-tambah oleh para sahabat Rasulullah saw seperti dalam surah at-Taubah.
8. Mempertikai dan mendakwa hadis Nabi saw bercanggah dengan Al-Qur’an. Mereka melaga-lagakan hadis Nabis saw yang kelihatan bertentangan dengan Al-Qur’an sedangkan sebenarnya mereka tidak memiliki keahlian dalam mengeluarkan hukum.
9. Meragui keperibadian Rasulullah saw dengan mengatakan Rasulullah saw gila seks dan sebagainya.

Moga bermanfaat.

Rujukan:
1. Islam Liberal dan Pluralisme Agama oleh Ustaz Riduan Mohamad Nor.

Mana Satu Lebih Utama?

Satu persoalan yang ingin saya lontarkan buat semua dan pembaca fikirlah apa jawapan yang sebenarnya. Persoalan ini saya lontarkan kerana umat Islam sudah keliru yang mana satu lebih utama. Soalannya antara menjaga hak ikatan persaudaraan sesama muslim (ukhuwwah) dan menjaga hubungan serta hati orang kafir, yang mana satu lebih utama?

Situasi yang berkait dengan persoalan ini dapat diperhatikan saban kali tiba hari perayaan bagi agama lain. Ramai yang bertanya kepada ulama bolehkah mengucapkan selamat menyambut perayaan kepada kenalan bukan Islam? Tidak kurang juga yang bertanya jika diajak bolehkah memenuhi jemputan majlis perayaan tersebut? Ada yang bertanya kerana memang ingin tahu dan risau jika perbuatan tersebut merosakkan aqidah. Malah sebaliknya ramai juga yang bertanya kerana takut mengguris hati kenalan bukan Islam jika tidak mengucapkan selamat dan menghadiri majlis perayaan.

Sikap yang begitu bersungguh ingin menjaga hubungan dengan orang bukan Islam. Bukan sahaja sekadar dalam bab perayaan semata sehinggakan apabila timbul isu salah faham atau tidak puas hati di dada akhbar terhadap Islam contohnya sebahagian umat Islam mula bergegas-gesa mencuba sedaya upaya dengan penuh kesungguhan cuba mendamaikan dan memberi penjelasan agar orang bukan Islam tidak benci kepada Islam. Atau paling kurang mereka mendiamkan sahaja.

Namun situasi seperti ini jarang-jarang kelihatan di kalangan umat Islam. Sebaliknya yang selalu kelihatan adalah situasi yang bertentangan. Jika ada sedikit nasihat yang dilontarkan untuk tujuan pembaikan atau teguran yang niatnya untuk menyedarkan begitu cepat sebahagian umat Islam melenting macam cacing kepanasan. Malah melontarkan tuduhan yang bukan-bukan kepada yang memberi nasihat sehingga merungkaikan tali persaudaraan sesama Islam serta merosakkan imej Islam. Walhal tiadalah nasihat diberikan melainkan untuk kebaikan.

Seruan saya umat Islam hari ini mesti tahu yang mana lebih utama antara menjaga hak ikatan persaudaraan sesama muslim (ukhuwwah) dan menjaga hubungan serta hati orang bukan Islam. Jangan kerana salah memilih kera di hutan disusukan tapi anak di rumah kelaparan. Bukankah persaudaraan sesama Islam itu merupakan kompenen penting kekuatan Islam?

Dakwah Yang Mulia


Dakwah itu tugas yang mulia kerana dakwah menyeru manusia kepada Allah swt, kepada kesejahteraan hakiki di akhirat dan memandu manusia menjauhi kecelakaan neraka.

Zaman kita sekarang adalah fasa kebangkitan Islam. Di mana-mana dapat dilihat keghairahan golongan pemuda dan remaja menghulurkan tangan untuk menyertai gerabak kebangkitan umat. Siaran tv mula dicambahi dengan rancangan berbentuk membina keperibadian Islam. Video kreatif sebagai hiburan alternatif mula memenuhi laman sesawang Youtube. Konvensyen dan seminar kebangkitan yang menyeru kepada Islam muncul banyak sekali. Dan bermacam-macam lagi perubahan positif zaman yang jika dahulu asing sekarang tidak asing lagi. Alhamdulillah dakwah yang mulia sedang maju ke hadapan.


Rancangan Realiti TV seperti Imam Muda dan Ustazah Solehah merupakan satu arus hiburan Islam yang seharusnya dikedepankan bagi melawan arus hiburan melampau yang cuba menghancurkan identiti umat Islam.

Bagi para pendakwah, hakikat ini harus kita sedari. Dakwah yang mulia ini akan tetap melangkah ke hadapan samada kita menyertai atau tidak. Dan realitinya kita sudah pun menyatakan kesediaan untuk bersama gerabak dakwah ini. Namun dalam keghairahan kita melaksanakan tugas ini seharusnya kita pastikan setiap langkah-langkah kita tidak dicemari dengan dosa kerana tugas yang sedang kita pikul ini adalah mulia di sisi Allah.


Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?”

Bukankah dakwah itu satu tugas yang mulia? Mana mungkin kita boleh mengatakan diri kita sebagai pendakwah sedangkan jalan dakwah kita dipenuhi dosa-dosa.

Bukankah setiap lafaz yang keluar dari lidah pendakwah itu sebaik-baik perkataan? Mana mungkin kita melafazkan sebaik perkataan sedangkan kita memburuk-buruk sesama muslim.

Bukankah tugasan dakwah ini sebesar-besar sunnah Rasulullah saw? Mana mungkin kita mengaku sebagai pengikut sunnah sedangkan tangan kita tangkas membuka aib orang Islam.

Wahai para pendakwah. Jagalah keperibadian kita. Ketahuilah dakwah itu ada adab dan aturannya. Islam adalah adab dan aturannya. Memang benar dakwah itu tugas mulia. Namun layakkah kita untuk mengaku bersamanya sedangkan tingkah kita hina di sisi Allah dan bertentangan sama sekali dengan Islam?