LGBT: Hak Asasi Individu atau ‘Penyakit’ Moral?

Era Globalisasi telah memperlihatkan perkembangan pesat umat manusia dalam pelbagai bidang sehinggakan bumi ini dirasai seperti dunia tanpa sempadan. Pertukaran budaya, gaya hidup, kemahiran teknologi dan maklumat yang berlaku dengan pantas telah memberikan kesan yang sangat positif bagi mana-mana negara di dunia. Namun, tanpa disedari setiap kebaikan yang datang dari Barat ini turut sama membawa malapetaka yang menyebabkan keruntuhan moral umat manusia. Di antara kebejatan moral Barat yang turut sama datang ke negara Islam adalah fenomena LGBT di kalangan umat Islam.

Apa Itu LGBT?

LGBT (singkatan kepada Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender) adalah istilah yang merujuk kepada perkumpulan manusia yang mempunyai orientasi seks songsang melangkau batas fitrah kemanusiaan. Komuniti LGBT ini pada dasarnya ditubuhkan untuk memperjuangkan hak-hak mereka yang dikatakan tertindas dan tidak bebas dengan berselindung di sebalik topeng akta hak-hak asasi manusia.

Di Malaysia, perkumpulan ini turut bertapak dan tanpa jemu memperjuangkan hak-hak mereka dengan menggunakan pelbagai kaedah. Antara contoh usaha yang paling ketara adalah acara tahunan Seksualiti Merdeka yang bertemakan Queer Without Fear. Melalui acara ini yang turut mendapat sokongan daripada United Nations dan Amnesty International, perkumpulan LGBT dengan lantang melaungkan akan hak-hak mereka untuk bebas memilih orentasi seks bebas dan tanpa sikap prejudis dari masyarakat.

Sejarah Ringkas LGBT

Jika dilihat sejarah umat manusia secara keseluruhannya, malapetaka seks songsang bukanlah penyakit moral yang baru. Di dalam Al-Quran, Allah swt telah menceritakan kewujudan perkumpulan manusia seperti ini dalam kisah Nabi Lut dan kisah kaum Sodom, yang akhirnya membawa kepada kemusnahan seluruh kaum akibat orientasi songsang mereka sendiri. Kemudian dari zaman kerasulan Nabi Muhammad saw sehinggalah zaman pemerintahan Kerajaan Turki Uthmaniyyah, tidak kedengaran perkumpulan seperti LGBT memperjuangkan hak-hak mereka. Ini kerana Islam yang sifatnya bersesuaian dengan kejadian manusia telah menghasilkan satu komuniti dunia yang bersih dan terjaga fitrahnya.

Sebaliknya, bermula dari Era Revolusi Perancis sehingga jatuhnya pemerintahan Turki Uthmaniyyah, masyarakat Barat yang pada awalnya berada dalam Zaman Kegelapan mula membebaskan diri dari ikatan beragama. Tindakan ini telah melahirkan satu masyarakat pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, yang menjadikan kehendak manusia tanpa batasan (humanisme) sebagai tuhan sehinggalah munculnya golongan yang mula berani memperjuangkan orientasi seks songsang berdalilkan kebebasan berkendak dan hak asasi manusia. Bermula dari sinilah penyakit moral ini mula tersebar ke seluruh dunia yang mana negara-negara Islam turut sama menjadi sasarannya termasuklah Malaysia.

Kenapa LGBT Boleh Terjadi?

Dr Rafidah Hanim Mokhtar, Naib Presiden II Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia (I-Medik) berkata penyakit moral LGBT merupakan natijah hasil didikan dan tidak mempunyai sumbangan faktor genetik sama sekali seperti yang didakwa oleh pejaung LGBT. Berjaya atau gagalnya ibu bapa memainkan peranan dalam mendidik anak-anak merupakan antara faktor utama kenapa LGBT begitu mudah bertapak dan berkembang di Malaysia. Pengabaian terhadap didikan agama mengikut acuan Islam secara khususnya telah melahirkan generasi yang lemah jatidiri dan mudah dipengaruhi oleh budaya-budaya kotor seperti LGBT. Pada masa yang sama, keruntuhan institusi keluarga dan kepincangan rumahtangga turut sama menjadi penyumbang kepada pengabaian didikan terhadap anak-anak.

Anak-anak yang terabai didikannya dan kekurangan kasih sayang akibat dari keluarga yang tidak stabil akan mencari perhatian dan belaian mesra di luar rumah. Mereka lebih selesa berada di luar berbanding berada di rumah dan ini mendedahkan mereka kepada faktor-faktor lain yang menyebabkan mereka terjerumus dalam penyakit LGBT. Ini termasuklah pengaruh pergaulan dengan rakan yang bermasalah, serangan pemikiran dan pengaruh budaya Barat melalui hiburan melampau dan pornografi yang akhirnya menghakis jatidiri dan merosakkan fitrah kemanusiaan.

Dampak Negatif LGBT

Tahukah anda bahawa penyakit AIDS yang disebabkan oleh HIV pertama kali dijumpai di kalangan komuniti yang mengamalkan seks songsang? Dengan berkembangnya perkumpulan LGBT ini maka tidak dapat tidak akan turut mempercepat penularan HIV dan peningkatan bilangan penghidap AIDS. Sehingga pada satu tahap, Allah swt akan mengazab masyarakat kita dengan mendatangkan penyakit baru yang lebih dahsyat kesannya dan sukar dicari penawarnya.

Di samping itu, berkembangnya penyakit moral LGBT juga akan meruntuhkan peranan institusi keluarga sebagai unit asas dalam pembinaan masyarakat. Pengamalan seks bebas sesama jantina tidak memungkinkan terbentuknya sebuah keluarga yang harmoni dan berperanan. Sebaliknya, budaya kotor ini akan memporak-porandakan masyarakat dan membentuk persekitaran yang tidak sihat untuk perkembangan generasi akan datang. Anak-anak akan menjadi keliru apabila melihat keluarganya mempunyai seorang ibu dan seorang bapa sedangkan jirannya ada dua orang bapa atau dua orang ibu.

Hak Asasi atau ‘Penyakit’ Moral?

Hari ini, golongan yang memperjuangkan LGBT begitu lantang menyuarakan hak dan meminta dunia mengiktiraf kebebasan berkehendak mereka sehinggakan suara mereka kedengaran di Majlis Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Di Malaysia, situasi yang sama turut berlaku. Penganjuran acara Seksualiti Merdeka begitu jelas menggambarkan kesungguhan mereka di samping sokongan kuat daripada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti SUARAM dan Malaysian Bar Council. Mereka bukan sahaja berselindung di sebalik slogan hak-hak asasi manusia sebagaimana yang digariskan dalam Pengisyhtiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, malah turut memanipulasikan Perlembagaan Malaysia mengikut tafsiran mereka sendiri. Namun persoalannya, adakah LGBT ini termasuk dalam hak asasi manusia atau ia sebenarnya adalah satu penyakit moral?

Islam sebagai garis panduan hidup bagi umat manusia telah mengharamkan perbuatan seks songsang ini sejak awal perutusan Rasulullah saw. Malah para nabi terdahulu turut terangkum dalam syariat yang diwahyukan kepada mereka akan pengharaman perbuatan tercela ini. Hikmah pengharaman ini bersesuaian dengan fitrah manusia yang cenderung ke arah jantina yang berlawanan dan membenci perbuatan yang bersifat kehaiwanan. Begitu juga dari sudut hak asasi manusia. Manusia yang sihat akalnya, suci fitrahnya dan jelas pandangannya sama sekali tidak akan mengiktiraf dan membenarkan LGBT terangkum dalam senarai hak-hak asasi manusia.

Kesimpulan

Jangan sesekali kita terpedaya dengan slogan-slogan yang memperjuangkan LGBT sebagai satu hak asasi individu kerana hakikatnya ia adalah suatu penyakit moral yang bercambah akibat kerakusan manusia mengikut hawa nafsu dan bertuhankan kebebasan berkedendak. Sebaliknya kita semua, termasuklah parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan, masyarakat dan individu, perlu berkerja keras untuk membendung penyakit moral ini dari terus berkembang di tanah air kita, Malaysia.

Kaya Dunia Muflis Akhirat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ فَقَالَ إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ. (مسلم والترمذي)

Dari Abu Hurairah ra., bahawa Nabi saw., bersabda: “Tahukah kamu siapakah dia orang Muflis?” Sahabat-sahabat Baginda menjawab:  “Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda;” Nabi saw., bersabda: “Sebenarnya orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari qiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat,  sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini dan menuduh orang itu memakan harta orang ini, menumpah darah orang itu, dan juga memukul orang; maka akan diambil dari amal kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu; kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang dianiayakan serta ditimpakan ke atasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam Neraka.” (Muslim dan Tirmizi)

Hadis di bawah tajuk Beriman Kepada Adanya Hari Akhirat.

Kesatuan Ummat

Imej

Kesatuan Ummat

Kaedah fekah mengatakan ما لا يدرك جله لا يترك كله , yang bermaksud “Apa yang tidak diperoleh kesemuanya maka tidak ditinggal kesemuanya”, maka kesatuan yang difikirkan hampir mustahil itu wajib diusahakan walaupun sedikit, hatta sekadar kerjasama. Tiada alasan untuk meninggalkan perkara yang wajib ini. Mentaliti menyalahkan pihak lain samalah seperti perangai Bani Israel yang banyak soal apabila diarahkan menyembelih lembu oleh Allah.

Petikan dari Sampaikanlah Pandanganku Ini.

Fahami Asobiyyah Melayu, Islam

MUKADIMAH

TIADA satu bangsa pun yang sempurna sepenuhnya. Ini tidak bermakna kita membangsakan agama, sebagaimana yang difahami oleh setengah pihak. Umpama Yahudi menyamakan agama Yahudi dengan bangsa Yahudi.

Hakikatnya kita tidak membangsakan agama Islam atau mengagamakan bangsa. Islam adalah agama dan Melayu adalah bangsa.

Kekeliruan ini dikupas oleh Presiden lkatan Muslimin Malaysia (ISMA) ABDULLAH ZAIK ABDUL RAHMAN ketika diwawancara oleh Pengarang Utusan Online, LUKMAN ISMAIL.

ISMA mempunyai cawangan di seluruh negara ini termasuk di luar negara. Dengan ahlinya menghampiri 20,000 orang ia menggabungkan kelompok ulama, ilmuwan, profesional, teknologis dan pelbagai bidang lain yang mempunyai potensi sebagai sebuah gerakan Islam masa depan.

Ia mengambil pendekatan wasatiyyah dan sentiasa menghubungkan Melayu dengan Islam sebagai arus dakwah dan tarbiah. Abdullah Zaik adalah lulusan Universiti Al-Azhar dan berjuang sepenuh masa dalam ISMA.

Imej

UTUSAN: Selalu berbangkit isu Melayu dan Islam diperkatakan oleh ramai pihak. Di mana saling hubung antara kedua-duanya dan mengapa takrif Melayu dalam Perlembagaan menyebutkan tentang Islam?

ABDULLAH ZAIK: Yang pertama saya bersyukur kepada Allah kerana dilahirkan dari keturunan Melayu beragama Islam. Saya berbangga dengan peranan yang telah dimainkan oleh bangsa Melayu dalam mengembangkan Islam di rantau ini dan menyumbang kepada kemajuan Islam di seluruh dunia. Bangsa Melayu telah diiktiraf menjadi bangsa Islam sehingga masuk Islam pada satu masa dahulu difahami sebagai masuk Melayu. Ini bagi saya satu pencapaian bersejarah yang perlu dibanggakan apabila Islam begitu berdarah daging dengan jati diri Melayu.

Umpama apabila kita menyebut Arab, orang akan memahaminya sebagai bangsa yang beragama Islam. Kita telah berjaya menampilkan Melayu dengan identiti yang sama dan bagi saya ini adalah satu pencapaian yang telah diusahakan oleh generasi terdahulu. Usaha ini perlu kita pertahankan. Sebab itulah saya sangat kecewa apabila akhir-akhir ini di atas apa-apa sebab, wujud dalam kalangan umat Islam sendiri yang cuba memisahkan Melayu daripada Islam.

Adakah kerana sebahagian daripada orang Melayu melakukan dosa, maksiat atau tingkah laku sebahagian mereka tidak menepati Islam maka kita mahu memisahkan Islam daripada Melayu? Sebenarnya kejahilan yang sama, dosa yang sama dilakukan oleh semua umat di atas muka bumi ini. Tiada satu bangsa pun yang sempurna sepenuhnya. Ini tidak bermakna kita membangsakan agama, sebagaimana yang difahami oleh setengah pihak. Umpama Yahudi menyamakan agama Yahudi dengan bangsa Yahudi.

Hakikatnya kita tidak membangsakan agama Islam atau mengagamakan bangsa. Islam adalah agama dan Melayu adalah bangsa. Tetapi kita berbangga berdarah dagingnya hubungan antara Melayu dan Islam kerana peranan Melayu di rantau ini sepanjang sejarah mengambil milikan (ownership) dalam mempertahan dan mengembangkan Islam. Seperkara lagi, apabila kita bercakap tentang hubungan Islam dengan bangsa, kita perlu memahami hakikat bahawa Islam tidak tertegak dengan sendiri tetapi Islam akan tertegak pada kumpulan manusia dalam kehidupan satu bangsa atau satu umat. Apabila kita bercakap tentang perjuangan Islam dan cuba menolak hubungannya dengan peranan satu bangsa atau umat yang memperjuangkan Islam, itu satu bentuk kebodohan yang nyata atas nama Islam.

Satu lagi bukti betapa akrabnya hubungan Melayu dengan Islam ini, sehingga Melayu dianggap sebagai identiti perlembagaan. Maksudnya Melayu ini bukan sahaja dilihat kepada keturunan tetapi ia merujuk kepada elemen-elemen yang termaktub dalam perlembagaan yang meletakkan tiga perkara sebagai komponen keperibadian Melayu iaitu Islam, bahasa dan adab resam.

Bagi saya ini adalah satu pencapaian yang telah dicapai oleh orang yang terdahulu. Merungkai semula hakikat ini dengan memisahkan Melayu daripada Islam adalah langkah mundur ke belakang yang tidak sewajarnya dilakukan oleh seorang manusia Melayu yang bangga dengan diri dan asal usulnya.

Apa yang mendorong sesetengah pihak mengatakan memperjuangkan Melayu itu adalah asabiah kaum dan ia adalah tidak Islam?

ABDULLAH ZAIK: Bagi saya tanggapan ini timbul kerana kejahilan terhadap sejarah Islam dan memahami nas mengikut konteks yang sebenar. Yang pertama, dalam sejarah Islam, ketua kaum atau mana-mana individu kaum yang menganut Islam akan berdakwah kepada kaum mereka, menjadikan kaum mereka sebagai kaum yang mempertahankan Rasulullah SAW dalam memperjuangkan Islam. Kaum ini menjadikan diri mereka sebagai tentera dalam memperjuangkan Islam.

Itulah yang terjadi kepada semua ketua kaum yang memeluk Islam. Mereka kembali kepada kaum mereka, menyeru kepada Islam dan membawa mereka untuk bersama-sama memperjuangkan dan mempertahankan Islam. Islam tidak pernah menghapuskan identiti kaum dalam sejarah. Rasulullah SAW tidak pernah menghapuskan identiti kaum dengan sebab mereka menganut agama Islam. Bahkan struktur kaum itu wujud dalam sistem politik Islam daripada zaman awal Rasulullah SAW sehinggalah ke zaman mutakhir ini.

Kita perlu membezakan antara dua perkara, antara peranan bangsa dalam struktur politik sebagai alat dan wasilah dengan bangsa sebagai matlamat. Yang tidak dibenarkan oleh syariat ialah bangsa sebagai matlamat. Peranan bangsa dalam sistem politik Islam adalah suatu yang diiktiraf. Dalam konteks inilah kita harus memahami maksud asabiah dengan maksud yang positif.

Kita perlu memahami celaan Rasulullah SAW terhadap assabiah dalam konteks yang betul. Rasulullah SAW menyebut assabiah yang dilarang ialah apabila kamu membantu kaum kamu atas kezaliman. Assabiah dengan maksud ini, boleh kita terjemahkan sebagai fanatisme, yang bukan sahaja sebenarnya dalam bentuk kaum tetapi dalam bentuk parti atau pertubuhan. Apabila kita taksub fanatik kepada kumpulan kita sehingga kita menolak kebenaran ataupun menafikan kumpulan lain, ia termasuk dalam kategori assabiah yang dilarang oleh Rasulullah SAW.

Masalahnya apabila kita tidak faham assabiah dalam makna yang betul, kita ter jebak dalam assabiah tanpa kita sedari.

Perjuangan ISMA adalah untuk mendaulatkan Islam dan bangsa Melayu dan umat manusia umumnya. Bagaimana ia seharusnya berlaku dalam konteks Malaysia?

ISMA memperkenalkan slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat (MSIB) sebagai manifestasi kepada satu gagasan gerak kerja. Setengah orang yang tidak memahami hakikat pertembungan kuasa dalam percaturan politik lantas menafikan peranan bangsa dalam menegakkan Islam. Mereka tidak memahami bagaimana percaturan politik itu berlaku, bagaimana percaturan antara kuasa-kuasa, mungkin tidak dapat menyelami rahsia kekuatan di sebalik slogan ini. Melihat dalam konteks Malaysia ini, Islam dapat didaulatkan. Dalam konteks itu kita meletakkan Melayu sebagai alat bukan sebagai objektif ke arah mencapai tujuan untuk mendaulat Islam. Perkataan daulat bermaksud menegarakan Islam.

Dalam konteks percaturan hari ini, hanya dengan kekuatan bangsa Melayu dan ke satuan mereka sahaja, agenda mendaulatkan Islam sepenuhnya akan berlaku. Slogan ini adalah dalam konteks strategi politik, bagaimana kita secara politiknya dapat memainkan peranan dalam percaturan antara agenda-agenda. Slogan ini bukanlah satu pernyataan akademik atau satu yang bersifat konseptual semata-mata.

Setengah orang yang tidak memahami hakikat pertembungan kuasa dalam percaturan politik lantas menafikan peranan bangsa dalam menegakkan Islam. Mereka tidak memahami bagaimana percaturan politik itu berlaku, bagaimana percaturan antara kuasa-kuasa, mungkin tidak dapat menyelami rahsia kekuatan di sebalik slogan ini. Sesetengahnya menganggap bahawa dengan slogan ini, ISMA menyeru kepada bangsa, atau menganggap ISMA mengeksklusifkan Islam kepada bangsa Melayu.

Saya ingin jelaskan bahawa slogan ini tidak berkaitan dengan topik dakwah atau kepada siapa kita berdakwah tetapi ini merupakan strategi berteraskan fikrah Islam, berdasarkan fakta realiti bagaimana peranan bangsa Melayu sebagai umat Islam yang majoriti di sini boleh memainkan peranan penentu dalam menentukan hala tuju politik negara. Ia bukan soal mengeksklusifkan Islam kepada bangsa Melayu, tetapi soal realiti. Agenda umat Islam dan agenda umat Melayu adalah secara realitinya satu yang hampir keseluruhannya sama.

Apabila kita menyebut tentang permasalahan umat Islam, bermakna 90 peratus merujuk kepada bangsa Melayu. Begitu juga apabila kita menyebut tentang masa depan Islam, 90 peratus merujuk kepada bangsa Melayu. Ini tidak menafikan hak bangsa-bangsa lain yang beragama Islam daripada umat Islam.

Sekiranya kita sebut umat Islam secara umum tanpa menyentuh perkataan Melayu, mungkin merujuk kepada bangsa Arab, bangsa Turki atau bangsa China atau India. Apabila kita bercakap tentang realiti politik Malaysia tanpa menyebut siapakah yang berkenaan secara spesifik, mungkin orang akan silap tafsir dan mungkin kita bercakap pada orang yang tidak berkenaan.

Usaha penubuhan Jalur Tiga (Jati) adalah usaha memelihara kedudukan Islam, Melayu dan Institusi Raja di Malaysia. Apakah kemunculan Jati boleh menjadi faktor mempersatu umat secara jangka panjang?

Kemunculan Jati adalah suatu yang tepat pada waktunya, di waktu mana rata-rata umat Islam dan orang Melayu merasa terancam dan tergugat kedudukan mereka. Ia akan mengisi inspirasi orang Melayu khususnya dan umat Islam amnya untuk memastikan kepentingan mereka tidak terancam disebabkan kerakusan pertembungan politik yang berlaku di tanah air. Islam, Melayu dan Raja (IMR) adalah tiga komponen teras yang menjadi asas kepada pembentukan Perlem bagaan Malaysia.

Isu IMR ini adalah merupakan isu paksi di mana kontrak sosial dalam konteks hubungan antara kaum di Malaysia ini digubal. Islam dengan kedudukannya, Melayu dengan hak-haknya dan institusi Raja dengan peranannya. Haruslah dijunjung dan dihormati oleh semua kaum yang ingin tinggal di negara ini.

Apabila akhir-akhir ini, terdapat usaha dari luar dan dalam yang ingin mencabar dan menggugat tiga perkara ini, ia tentunya menyentuh jantung hati umat Islam khususnya orang Melayu keseluruhannya. IMR adalah noktah perkongsian yang merangkumi kepentingan orang Melayu dan umat Islam seluruhnya. Dengan menjadikan tiga perkara ini sebagai asas atau landasan perjuangan, in akan menjadi unsur penyatuan kepada seluruh umat.

Sumber: Utusan Malaysia, 6 Mac 2012

Kenali Liberalisme

Dengan berselindung di sebalik hak asasi manusia, para pendokong liberalisme memperjuangkan kebebasan individu yang mutlak tanpa sekatan atau dengan sekatan yang paling sedikit. Mereka mempunyai gagasan yang menyatakan bahawa individu lebih penting dari masyarakat dan setiap individu bebas dari ikatan agama.

Serangan pemikiran liberal yang kuat mengancam dan menghakis kefahaman Islam yang sahih di kalangan umat Islam Malaysia ketika ini merupakan rentetan daripada serangan pemikiran. Fahaman liberal ini yang dahulunya dipelopori oleh pemikir Barat semasa Zaman Renaissance dan para orientalis semasa perkembangannya, tanpa sedar atau tidak atau kerana terpesona dengan ketamadunan yang dicapai oleh negara Barat, kini didokong pula oleh sebahagian umat Islam sendiri. Perkembangan ini dilihat berbahaya terhadap umat Islam apabila fahaman liberal ini mula disinonimkan dengan Islam melalui istilah Islam Liberal.

Umar al-Khattab ra pernah menasihati kaum muslimin bahawa “akan terungkailah ikatan Islam satu persatu dari seorang yang lahir membesar di dalam Islam tetapi tidak mengenali jahiliyyah“. Oleh itu, menjadi kewajipan kita umat Islam untuk mengenali apakah ciri-ciri musuh Islam yang membawa fahaman liberal ini di samping mempelajari dan mengamalkan Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw.

Ustaz Riduan Mohamad Nor dalam buku karangannya ‘Islam Liberal dan Pluralisme Agama’ telah menggariskan 9 bentuk pemikiran yang diperjuangkan oleh pendokong fahaman liberal.

1. Memperjuangkan pluralisme agama. Pendokong fahaman liberal menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni menyembah Tuhan yang satu dan semuanya membawa ke jalan kebenaran. Akibatnya timbullah kes seperti Sambutan Kongsi-Raya antara agama yang difatwakan haram oleh Muzakarah Ulama 2006 di Perak.
2. Mendesak agar diberikan hak kebebasan untuk murtad kepada orang Islam. Mereka memperjuangkan ide ini seperti yang terjadi dalam kes Lina Joy kerana terpengaruh dengan konsep Hak Asasi Manusia tajaan Barat yang memutlakkan hak kebebasan individu dalam beragama, di samping kejahilan mereka menafsirkan Al-Qur’an dan Hadis mengikut citarasa mereka seperti ayat 256 surah al-Baqarah. Perjuangan mereka diperhebatkan lagi dengan penubuhan Inter-Faith Council (IFC) yang cuba menghakis ajaran Islam yang dilihat bertentangan dengan ide kebebasan beragama mereka.
3. Menyatakan Al-Qur’an perlu ditafsir semula agar selari dengan peredaran zaman. Pendokong fahaman liberal mengatakan bahawa Al-Qur’an perlu ditafsirkan semula tanpa terikat dengan tafsiran ulama terdahulu yang sudah ketinggalan zaman. Mereka berpendirian bahawa pentafsiran baru bagi Al-Qur’an tidak perlu terikat dengan disiplin ilmu tafsir dan memadai hanya dengan akal serta rasional semata-mata.
4. Mempertikati syari’at dan hukum Allah swt dengan hujah rasional seperti hukum faraid, poligami, kewajipan bertudung bagi wanita, hukuman bunuh bagi orang murtad, hukum hudud, hak suami mencerai isteri dan larangan berkahwin antara orang Islam dan bukan Islam.
5. Menolak penguatkuasaan undang-undang moral berteraskan agama. Mereka mengatakan bahawa undang-undang tersebut melanggar kebebasan dan hak asasi manusia serta mendesak pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Negeri supaya tidak menggunakan pendekatan undang-undang untuk mengawasi akhlak rakyat.
6. Mendokong gerakan pembebasan wanita (feminisme). Mereka menyeru agar wanita Islam mencontohi wanita Barat dan menuntut persamaan hak antara lelaki dan wanita seperti pembahagian harta pusaka, poligami, hak penceraian serta menentang pakaian menutup aurat.
7. Meragui kesahihan sebahagian teks Al-Qur’an dan penyusunannya dengan mengatakan bahawa teks Al-Qur’an telah dicemari dan ditambah-tambah oleh para sahabat Rasulullah saw seperti dalam surah at-Taubah.
8. Mempertikai dan mendakwa hadis Nabi saw bercanggah dengan Al-Qur’an. Mereka melaga-lagakan hadis Nabis saw yang kelihatan bertentangan dengan Al-Qur’an sedangkan sebenarnya mereka tidak memiliki keahlian dalam mengeluarkan hukum.
9. Meragui keperibadian Rasulullah saw dengan mengatakan Rasulullah saw gila seks dan sebagainya.

Moga bermanfaat.

Rujukan:
1. Islam Liberal dan Pluralisme Agama oleh Ustaz Riduan Mohamad Nor.

Mana Satu Lebih Utama?

Satu persoalan yang ingin saya lontarkan buat semua dan pembaca fikirlah apa jawapan yang sebenarnya. Persoalan ini saya lontarkan kerana umat Islam sudah keliru yang mana satu lebih utama. Soalannya antara menjaga hak ikatan persaudaraan sesama muslim (ukhuwwah) dan menjaga hubungan serta hati orang kafir, yang mana satu lebih utama?

Situasi yang berkait dengan persoalan ini dapat diperhatikan saban kali tiba hari perayaan bagi agama lain. Ramai yang bertanya kepada ulama bolehkah mengucapkan selamat menyambut perayaan kepada kenalan bukan Islam? Tidak kurang juga yang bertanya jika diajak bolehkah memenuhi jemputan majlis perayaan tersebut? Ada yang bertanya kerana memang ingin tahu dan risau jika perbuatan tersebut merosakkan aqidah. Malah sebaliknya ramai juga yang bertanya kerana takut mengguris hati kenalan bukan Islam jika tidak mengucapkan selamat dan menghadiri majlis perayaan.

Sikap yang begitu bersungguh ingin menjaga hubungan dengan orang bukan Islam. Bukan sahaja sekadar dalam bab perayaan semata sehinggakan apabila timbul isu salah faham atau tidak puas hati di dada akhbar terhadap Islam contohnya sebahagian umat Islam mula bergegas-gesa mencuba sedaya upaya dengan penuh kesungguhan cuba mendamaikan dan memberi penjelasan agar orang bukan Islam tidak benci kepada Islam. Atau paling kurang mereka mendiamkan sahaja.

Namun situasi seperti ini jarang-jarang kelihatan di kalangan umat Islam. Sebaliknya yang selalu kelihatan adalah situasi yang bertentangan. Jika ada sedikit nasihat yang dilontarkan untuk tujuan pembaikan atau teguran yang niatnya untuk menyedarkan begitu cepat sebahagian umat Islam melenting macam cacing kepanasan. Malah melontarkan tuduhan yang bukan-bukan kepada yang memberi nasihat sehingga merungkaikan tali persaudaraan sesama Islam serta merosakkan imej Islam. Walhal tiadalah nasihat diberikan melainkan untuk kebaikan.

Seruan saya umat Islam hari ini mesti tahu yang mana lebih utama antara menjaga hak ikatan persaudaraan sesama muslim (ukhuwwah) dan menjaga hubungan serta hati orang bukan Islam. Jangan kerana salah memilih kera di hutan disusukan tapi anak di rumah kelaparan. Bukankah persaudaraan sesama Islam itu merupakan kompenen penting kekuatan Islam?

Dakwah Yang Mulia


Dakwah itu tugas yang mulia kerana dakwah menyeru manusia kepada Allah swt, kepada kesejahteraan hakiki di akhirat dan memandu manusia menjauhi kecelakaan neraka.

Zaman kita sekarang adalah fasa kebangkitan Islam. Di mana-mana dapat dilihat keghairahan golongan pemuda dan remaja menghulurkan tangan untuk menyertai gerabak kebangkitan umat. Siaran tv mula dicambahi dengan rancangan berbentuk membina keperibadian Islam. Video kreatif sebagai hiburan alternatif mula memenuhi laman sesawang Youtube. Konvensyen dan seminar kebangkitan yang menyeru kepada Islam muncul banyak sekali. Dan bermacam-macam lagi perubahan positif zaman yang jika dahulu asing sekarang tidak asing lagi. Alhamdulillah dakwah yang mulia sedang maju ke hadapan.


Rancangan Realiti TV seperti Imam Muda dan Ustazah Solehah merupakan satu arus hiburan Islam yang seharusnya dikedepankan bagi melawan arus hiburan melampau yang cuba menghancurkan identiti umat Islam.

Bagi para pendakwah, hakikat ini harus kita sedari. Dakwah yang mulia ini akan tetap melangkah ke hadapan samada kita menyertai atau tidak. Dan realitinya kita sudah pun menyatakan kesediaan untuk bersama gerabak dakwah ini. Namun dalam keghairahan kita melaksanakan tugas ini seharusnya kita pastikan setiap langkah-langkah kita tidak dicemari dengan dosa kerana tugas yang sedang kita pikul ini adalah mulia di sisi Allah.


Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?”

Bukankah dakwah itu satu tugas yang mulia? Mana mungkin kita boleh mengatakan diri kita sebagai pendakwah sedangkan jalan dakwah kita dipenuhi dosa-dosa.

Bukankah setiap lafaz yang keluar dari lidah pendakwah itu sebaik-baik perkataan? Mana mungkin kita melafazkan sebaik perkataan sedangkan kita memburuk-buruk sesama muslim.

Bukankah tugasan dakwah ini sebesar-besar sunnah Rasulullah saw? Mana mungkin kita mengaku sebagai pengikut sunnah sedangkan tangan kita tangkas membuka aib orang Islam.

Wahai para pendakwah. Jagalah keperibadian kita. Ketahuilah dakwah itu ada adab dan aturannya. Islam adalah adab dan aturannya. Memang benar dakwah itu tugas mulia. Namun layakkah kita untuk mengaku bersamanya sedangkan tingkah kita hina di sisi Allah dan bertentangan sama sekali dengan Islam?