Apa Erti Kemerdekaan?

Mimbar jumaat menjadi perhatian,
Memberi ingat setiap insan,
Hari Kemerdekaan bukan sebarangan,
Merdeka nikmat anugerah Tuhan.

Hari jumaat hari kemuliaan,
Takdir Tuhan merdeka bersamaan,
Wahai anak dengarlah pesanan,
Hiburan terlampau tanda kesyukuran?

Rabie bin Amir tangkas di medan,
Rustum bertanya penuh kehairanan,
Apa tujuan datang ke perbatasan,
Kami datang perintah Tuhan.

Tombak dipacak seorang pahlawan,
Buat mengikat kuda hitam,
Bebas manusia dari segala perhambaan,
Hanya untuk Tuhan sekelian alam.

Ustaz Azhar diajukan soalan,
Apa itu erti kemerdekaan,
Bukan sekadar jasad dan badan,
Merdekakan juga jiwa dan fikiran.

Pesanan mimbar menguja perasaan,
Bagaimana cara zahirkan kegembiraan,
‘Gangnam Style’ bukanlah pilihan,
Sujud kemerdekaan tanda kesyukuran.

Oleh:
Naim Faiz b Ahmad Imran,
Jumaat 31 Ogos 2012,
Sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-55.

Pesan Abang Setulus Pejuang

Sempena Hari Kemerdekaan negara kita, saya kongsikan pantun pesanan dari sahabat saya.

Pantun ini dinobatkan sebagai juara kategori karya kreatif pada Sambutan Kemerdekaan ke-53 yang telah dianjurkan oleh ISMA-Australia pada 21 Ogos 2010.

Dari Sibu ke kota Sandakan,
Amanah ditanggung menuntut ilmu.
Mari adik abang kisahkan,
Sejarah agung asal usulmu.

Melukah ikan di Paya Bakong,
Dibuat lauk ketika bersahur,
Tahukah adik tawarikh agung,
Perihal babad Melaka yang masyhur?

Ikan bujuk ikan tilan,
Tenggiri bunga di mata jala,
Ulama dirujuk penegak keadilan,
Negeri sentosa rakyat terbela.

Mengira waktu menghitung saat,
Menanti berbuka di kedai warung.
Hukum Kanun berlandaskan syariat,
Islam tertegak agama dijunjung.

Hinggap jentayu di pohon mertas,
Mencari-cari dahan menasi.
Bahasa Melayu tersebar luas,
Dikongsi-kongsi hingga ke Parsi.

Bulan bukan sebarang bulan,
Bulan mulia dihujani rahmat,
Sultan bukan sebarang sultan,
Sultan adil berjiwa rakyat.

Manggis ranum kemerah-merahan,
Berbagai rupa sedap belaka,
Portugis menyerang bermati-matian,
Berakhirlah sudah kegemilangan Melaka.

Resmi sekadim bergaduh bercanda,
Badan sudah dua senyawa.
Angkara jahanam Inggeris Belanda,
Kaum serumpun terpecah dua.

Melalu denai melintas titi,
Meredah hutan memetik melati.
Jepun menentang separuh mati,
Watan dipertahan sepenuh hati.

Dari Langkasuka ke Putrajaya,
Tentangan ditepis menabur jasa,
Laungan Merdeka menggegar Malaya,
Kemuncak manis pejuang bangsa.

Negara ini bangsanya rencam,
Beruntungnya lahir di tanah bertuah.
Jangan kau lupa peristiwa hitam,
Rusuhan kaum menumpahkan darah.

Menahan kayu memasang pasak,
Disengat tebuan di hujung rimba.
Ketuanan Melayu dihentam diasak,
Siapa yang tuan, siapa yang hamba?

Bilangnya ajal merasa sayu,
Semadi jasad bernesan jawi,
Malangnya nasib berbangsa Melayu,
Menjadi hamba di tanah pertiwi.

Apa guna memetik cempaka,
Kalau bunga dimusnah sarang,
Apa guna erti merdeka,
Kalau jiwa dijajah orang.

Mencari kayu melumat rencah,
Herba ditambah pelazat ramuan.
Sesama Melayu umat berpecah,
Usah bicara soal kemajuan.

Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka.
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka.
– Burhanuddin al-Helmy-

Parang diasah menerang belukar,
Menyabit di sini menebas di sana.
Abang bermadah adik mendengar,
Moga menjadi iktibar bermakna.

Andainya abang menyimpang jalan,
Janganlah adik terikut leka,
Andainya abang syahid di medan,
Janganlah adik gundah berduka.

Ketika terasa lesunya iman,
Ingat kembali syiar Melaka,
Ayuh adik mara ke depan,
Kita semarakkan jiwa merdeka!

Hasil karya:
Ariff Izzuddin Bin Mohammad Redzuan
18 Ogos 2010/ 8 Ramadhan 1431 Hijrah

Nasihat Buat Bangsaku

Sedarlah wahai bangsa Melayu,
percakaran di kalangan kita tidak akan menguntungkan sesiapa,
apatah lagi kedudukan Islam di tanahair kita.

Walau apapun agenda perjuangan kita,
jangan sampai akhlak sampah yang mewarnainya,
jangan sampai ukhuwwah dijaja-jaja.

Wahai bangsa Melayu,
perpecahan yang berlaku di kalangan kita,
agama Islam-lah yang terkena calit kotornya,
walau sekeras mana kita ingin menafikannya.

Tahukah kamu wahai bangsa Melayu,
di tangan kamu kini terletak baton amanah,
dari warisan perjuangan mereka yang telah pergi,
untuk masa depan anak Melayu Islam di Malaysia.

Kerana itu,
bersatulah wahai bangsa Melayu,
mencapai kesepakatan demi agamamu.

Oleh:
Naim Faiz Ahmad Imran
Ahli Ikatan Muslimin Malaysia
“Membangun Umat Beragenda”
“Melayu Sepakat Islam Berdaulat”