Hutang & Buku 555

Pernahkah kalian melihat buku ‘Tiga Lima’ (555)? Atau kalian pernah menggunanya? Dahulu di koperasi sekolah dan di gerai-gerai makan buku 555 ini sangat sinonim dengan istilah hutang. Namun yang ingin dibicarakan dalam tulisan ini bukanlah mengenai buku 555 ini tetapi mengenai hutang. Seorang penulis iaitu Jon Hanson dalam bukunya yang bertajuk ‘Good Debt, Bad Debt’ telah mengibaratkan hutang sebagai kolesterol. Seperti kolesterol, hutang jika terlalu banyak boleh mendatangkan masalah kepada individu, malah ada kalanya ia boleh membunuh.

Islam sangat memandang berat mengenai pengurusan dan permasalahan hutang. Allah swt sendiri telah menurunkan ayat Al-Qur’an sebagai panduan buat umat Islam dalam menggurus hutang. Para pembaca bolehlah merujuk tafsir ayat 282 surah al-Baqarah. Malah Rasulullah saw juga melafazkan dan mengajarkan doa buat umat Baginda bagi memohon perlindungan dari hutang. Antaranya yang boleh kita amalkan:

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari lilitan hutang dan tekanan orang lain.” [Riwayat Abu Daud]

Ini kerana Rasulullah saw telah menjelaskan bahawa hutang mempunyai potensi untuk merosak akhlak dan perilaku seseorang sehingga menyamakan bahaya hutang dan dosa.

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang.” Lalu ada orang bertanya kepadanya, “Wahai Rasulullah, engkau begitu banyak berlindung dari hutang?” Beliau menjawab, “Sesungguhnya seseorang apabila berhutang, maka dia sering berkata lantas berdusta, dan berjanji lantas memungkirinya.” [Riwayat Bukhari]

Maka seharusnya kita umat Islam menuruti jejak langkah Rasulullah saw dalam menangani perihal hutang. Namun begitu, tidaklah bermakna hutang itu haram. Profesor Yusuf al-Qardhawi telah menjelaskan dalam bukunya ‘Halal dan Haram’ bahawa orang Islam tidak digalakkan berhutang namun jika keadaan sangat memaksa, maka diperbolehkan. Dan apabila kita berada dalam keadaan yang memaksa kita untuk berhutang, yang perlu kita ambil berat adalah pengurusan hutang tersebut.

Tulisan ini akan berkongsi beberapa kaedah hutang yang seharusnya seorang Islam amalkan:
1-Walaupun kita sudah berhutang, sebaiknya kita teruskan mengamalkan doa perlindungan hutang Rasulullah saw seperti di atas.
2-Sewaktu proses berhutang, kita diperintahkan untuk merekod jumlah hutang dan dengan siapa kita berhutang sepertimana perintah Allah swt dalam ayat 282 surah al-Baqarah.
3-Pada masa yang sama, kita juga perlu memasang niat untuk membayarnya kelak. Rasulullah saw telah bersabda, “Barangsiapa berhutang harta orang lain dengan niat akan mengembalikannya, maka Allah akan meluluskan niatnya itu; dan barangsiapa yang berhutang dengan niat akan membinasakannya (tidak mengembalikannya), maka Allah akan merosakkannya.” [Riwayat Bukhari]
4-Menentukan tempoh masa bagi melangsaikan hutang tersebut mengikut kemampuan kita dan jangan bertangguh. Sebaiknya tetapkan sejumlah nilai dari pendapatan kita untuk membayar hutang jika ada.
5-Bacalah doa, “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari lilitan hutang dan tekanan orang lain”.

Kesimpulannya, umat Islam digalakkan untuk menggelak dari berhutang dan jika terpaksa berhutang, umat Islam diperintahkan untuk mengguruskannya dengan sebaik mungkin mengikut hukum-hakam Islam. Ketahuilah bahawa jika kalian menggurus hutang dengan betul kalian akan mendapat pahala.

Sekian. Moga bermanfaat.

Rujukan:
1-Halal dan Haram, karangan Dr. Yusuf Qardhawi
2-Bahaya Hutang Menurut Islam, karangan Dr Zaharuddin, Zaharuddin.net
3-Pendekatan Islam dalam Pengurusan Hutang, karangan Muhammad Hisyam, IKIM

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s