Buang Bayi: Satu Cabang dari Pembunuhan Jiwa


Beginilah keadaan mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat yang ditemui oleh orang ramai di hadapan Masjid Permatang Duyong, Duyong, Melaka – Sumber Utusan.

Membunuh jiwa adalah satu dosa besar, seperti mana dikategorikan oleh Imam Adz-Dzahabi, dalam kitabnya Al-Kabaair (Dosa-dosa besar). Dosa membunuh jiwa ini dikategorikan nombor dua paling berat selepas mensyirikkan Allah swt.

Allah swt berfirman yang maksudnya;

“Dan orang-orang yang tidak menyembah ilah yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina. Maka barangsiapa yang melakukan demikian itu, niscaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya), (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina.” [Al-Furqan: 68-69][Shahih]

Lihatlah bertapa besarnya dosa orang yang membunuh jiwa, tanpa alasan yang benar, dosanya adalah kedua besar selepas mensyirikkan Allah swt. Malah dosanya lebih besar dari zina. Lalu bagaimana mereka yang membunuh jiwa (baca: membuang bayi) yang merupakan hasil dari zina?

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya adalah;

“Jauhilah oleh kalian tujuh perkara yang membinasakan!” [Shahih]

Lalu Baginda menyebut salah satunya membunuh seorang manusia yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang dibenarkanNya. Lantas adakah mereka yang membuang bayi dan membunuhnya (baca: membakar) mempunyai alasan yang benar? Dan adakah alasan itu dibenarkan oleh Allah swt?

Seseorang bertanya kepada Nabi saw, “Dosa apakah yang paling besar di sisi Allah Ta’ala?” Beliau menjawab, “Apabila kamu mengangkat tandingan bagi Allah, padahal Dia yang menciptakanmu.” Orang itu bertanya lagi, “Lalu apa?” Beliau menjawab, “Kamu bunuh anakmu kerana khawatir akan makan bersamamu.” Orang itu bertanya lagi, “Lalu apa?” Beliau menjawab, “Kamu berbuat zina dengan isteri tetanggamu.” Lalu Allah menurunkan pembenaran atas sabda Nabi tersebut dengan ayat di atas (iaitu Al-Furqan: 68-69).

Lihatlah bertapa besarnya dosa mereka yang membunuh anaknya kerana khawatir akan tidak cukupnya rezeki atau makanan. Lantas bagaimana dengan mereka yang membunuh bayi, membuang dan membakar, kerana malu atas keterlanjuran sendiri? Kerana dosa zina mereka sendiri?

Hayatilah sabda Rasulullah saw ini, yaitu, “Ketahuilah bahawa barangsiapa membunuh jiwa yang terikat dengan dzimmah (perlindungan) dari Allah dan Rasul-Nya, berarti ia telah membatalkan dzimmah Allah, dan tidak akan memcium wangi surga. Dan sungguh harum syurga itu telah tercium dari jarak 50 tahun perjalanan.” [Shahih]

Jika membunuh orang kafir yang terikat perjanjian saja sedemikan balasannya, lalu bagaimanakah dengan membunuh bayi yang tidak berdosa dan suci fitrahnya itu (yakni Islam)?

Jenayah membunuh anak-anak kerana sebab-sebab sosio-ekonomi

“Apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya, kerana dosa apakah dia dibunuh.” (At-Takwir: 8-9)

As-Syahid Sayyid Qutb berkata dalam tafsir Fi Zhilal-nya, “Kerendahan jiwa manusia di zaman jahiliyyah telah mengakibatkan tersebarnya adat menanam anak perempuan hidup-hidup, kerana malu dan takut miskin. Adat ini telah diceritakan oleh al-Quran sebagai merakam keburukan zaman jahiliyyah.”

Lalu bagaimana pula keadaan masyarakat kita, yang tidak mengira jantina, lelaki atau perempuan, kedua-duanya dibuang, dibunuh dan dibakar dalam timbunan sampah, kerana malu dan takut akan celaan manusia disebabkan keterlanjuran melakukan zina?

———-

Ketahuilah merintih dan menangisi nasib bayi ini saja tidak cukup. Perubahan perlu dilakukan pada masyarakat dan langkah pertama adalah bermula dengan diri kita sendiri. Apabila jiwa-jiwa individu dalam masyarakat dapat dihidupkan dengan sinar Islam yang benar, nescaya akan bergeraklah gerombolan perubahan yang akan mengubah wajah masyarakat. Namun pada masa yang sama menasihati dan mencegah kejadian ini dan sumbernya perlulah dilakukan.

———-


Mayat bayi dibuang dan ditemui dalam sebuah tong sampah, manakala gambar kecil menunjukkan mayat bayi yang telah rentung di Jalan Tengku Zainal Abidin, Kuala Krai, Kelantan – Sumber Utusan.

KUALA KRAI 13 Feb. – Sepanjang minggu ini sudah ada empat kes buang bayi.

Tetapi yang berlaku hari ini paling kejam dan meruntun perasaan.

Dengan tali pusat yang masih segar dan uri melekat di tubuhnya, bayi lelaki berkulit cerah ini dicampakkan ke dalam tong sampah!

Di atasnya diletak timbunan rumput, kayu dan kepingan zink.

Paling memilukan, si kecil yang dipercayai baru berusia beberapa hari ini dibakar!

Badan bayi ini separuh rentung. Kakinya pula bercerai daripada badan.

Cuma yang tidak dapat dipastikan adakah bayi yang cukup sifat itu masih hidup ketika dibuang atau pun dibakar hidup-hidup.

Bayi malang itu ditemui dua petugas Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK), Mohd. Zain Pa’Su, 57; Mohd. Hilmi Rosli, 26, dan Abdul Rahman Hussin, 28, semasa hendak memungut sampah di bandar ini.

Mohd. Zain berkata, mereka memulakan tugas seperti biasa untuk memungut sampah dengan lori tetapi merasa pelik apabila melihat sebuah tong MDKK di Jalan Tengku Zainal Abdidin di sini, terbakar kira-kira pukul 11 pagi ini.

Katanya, selain itu, tong sampah tersebut turut dipenuhi rumput, kayu dan zink yang seolah-olah disusun secara bertingkat untuk menyembunyikan sesuatu.

“Jarang tong sampah itu terbakar tetapi kami tidak mengesyaki apa-apa. Disebabkan susah untuk mengangkat sampah kerana tong itu terbakar kami terpaksa memunggah.

“Namun alangkah terkejutnya apabila menemui mayat bayi lelaki dengan separuh badannya terbakar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Abdul Rahim Che Ghani berkata, berdasarkan siasatan, tong sampah itu dipercayai dibakar sejak pagi semalam.

“Tetapi disebabkan semalam bukan waktu untuk memungut sampah tiada siapa menemui bayi malang itu sehingga kakitangan MDKK itu menjalankan tugas mereka pagi ini.

“Mereka kemudian membuat laporan kepada dua anggota polis bermotosikal yang melakukan rondaan di kawasan tersebut kira-kira pukul 11.25 pagi.

“Kita mengesyaki suspek sengaja membakar tong sampah ini untuk menghapuskan bahan bukti kerana bimbang ia akan diketahui umum,” katanya.

Ujarnya, pihak polis sedang menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Kuala Krai untuk mengetahui punca kematian bayi ini.

Kata beliau, pihaknya juga percaya perbuatan itu dilakukan oleh remaja di sekitar bandar ini kerana tidak mungkin orang luar akan ke lokasi tersebut untuk membuang bayi.

“Saya memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat mengenai kejadian ini.

“Kita juga meminta kerjasama dari klinik swasta sekiranya menerima kes melibatkan kelahiran atau sakit selepas melahirkan bayi,” katanya.

Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Rabu lalu, seorang bayi yang masih bertali pusat ditemui mati di atas lantai di tepi pintu pagar sebuah masjid di Kampung Permatang Duyong Melaka. Ketika ditemui bayi itu dihurung semut.

Sehari sebelum itu, mayat bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Isnin lalu, seorang bayi ditinggalkan di hadapan rumah seorang pegawai polis di Kedah.

One thought on “Buang Bayi: Satu Cabang dari Pembunuhan Jiwa

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s