Ringkasan Haza ad-deen (bhg. 2)

Manhaj Yang Unggul

Pertama: Hanya manhaj inilah yang unggul. Unggul kerana manhaj ini berpaksikan “tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad adalah utusan Allah”.

“Tiada Tuhan melainkan Allah” membawa maksud hanya Allah-lah Tuhan yang esa dan tiada yang lain (makhluk) setara dengan-Nya. Hanya Allah-lah yang mempunyai kuasa hakimiah (menetapkan hukum) yang mutlak dan tiada yang lain berperanan dalam kekuasaan ini. Maka hanya Allah-lah sahaja yang berhak untuk menentukan manhaj yang akan diguna pakai dalam kehidupan manusia dan tiada yang lain dapat mengakui memiliki hak ini. Namun, jika ada yang mendakwa sedemikian dan dakwaan ini dibenarkan oleh mereka di sekeliling, maka kedua-duanya (yang mendakwa dan yang membenarkan) telah mensyirikkan Allah.

“Muhammad adalah utusan Allah” pula membawa maksud memanglah manhaj ini untuk manusia, kerana Muhammad juga adalah manusia. Maka, manhaj unggul inilah yang wajib kita laksanakan dalam hidup kita dan hidup seluruh bangsa manusia, bukannya manhaj yang direka-reka oleh mereka yang mengakui mempunyai kuasa hakimiah, sedangkan mereka juga manusia.

Kedua: Hanya manhaj inilah yang unggul dan wajib dilaksana. Unggul dan wajib dilaksana kerana hanya manhaj ini menganugerahkan manusia kehormatian diri dan kebebasan hakiki. Hanya manhaj ini yang membebaskan manusia daripada perhambaan manusia dengan mengarahkan perhambaan mereka hanya kepada Allah.

Ketahuilah bahawa selain dari manhaj unggul ini, semuanya memperhambakan manusia kepada manusia. Apa tidaknya kerana manusia tidak dapat tidak akan terpengaruh dengan nafsu untuk mencapai kepentingan diri sendiri, kaumnya atau bangsanya. Sudah pasti dalam proses mencipta manhaj, nafsu mempunyai pengaruh yang kuat. Dan ketahuilah bahawasanya nafsu itu membinasakan.

“Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang ada padanya.” [Al-Mukminun: 71]

Belajarlah dari kisah Yahudi dan Nasrani. Pendeta-pendeta mereka mencipta manhaj baru dengan mengubah manhaj dari Allah untuk mencapai matlamat sendiri dan memperhamba manusia. Akibatnya, sesiapa yang membenarkan manhaj mereka, maka mereka ini telah memperhambakan diri kepada manusia.

Belajarlah dari kisah Adi bin Hatim. Takkala beliau menemui Rasulullah saw, Baginda sedang membaca ayat, “Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah…”, Adi lantas berkata, “Mereka tidak pernah menyembah pendeta-pendeta dan rahib-rahib mereka.” Baginda membalas, “Bahkan ya, kerana pendeta dan rahib ini mangharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram lalu mereka menurutnya. Inilah cara penyembahan mereka kepada pendeta dan rahib ini!”

Ketiga: Hanya manhaj unggul inilah yang wajib dilaksana. Ini kerana manhaj ini datangnya dari Allah, Pencipta manusia. Sebagai Pencipta manusia, sudah pastilah Allah Maha Mengetahui segala selok-belok hidup manusia dan Maha Mengetahui selok-belok bumi serta alam yang berkaitan langsung dengan kehidupan manusia. Maka manhaj yang datangnya dari Allah sudah tentu memuatkan segala faktor ini.

Sedangkan manhaj yang direka-reka oleh manusia adalah mustahil untuk memenuhi segala kehendak ini memandangkan terbatasnya kemampuan manusia. Sebagai contohnya hayat manusia yang pendek tidak memungkinkan manusia untuk mengetahui segala faktor-faktor ini.

Maka manhaj unggul ini sahaja yang layak dan wajib dilaksanakan kerana ia adalah satu-satunya manhaj yang sempurna dan betul bagi menegakkan satu sistem hidup manusia, berteraskan tabit semulajadi manusia itu sendiri. Manhaj inilah yang akan kekal selamanya kerana ianya berdasarkan tafsiran matlamat kejadian alam dan kejadian manusia yang benar dari Pencipta segala isi alam.

Sedangkan manhaj yang selain dari itu adalah manhaj tipuan dan rekaan, yang tidak akan kekal lama kerana bergantung kepada akal manusia yang terbatas, yang juga memiliki had hidup yang terbatas. Maka sudah tentu tafsiran manusia juga lemah dan terbatas.

Keempat: Hanya manhaj unggul inilah yang wajib dilaksana kerana ia adalah satu-satunya manhaj yang mempunyai keserasian dengan keseluruhan sistem alam. Apa tidaknya, bukankah ianya datang dari Allah, Tuhan Pencipta seluruh alam. Dengan manhaj ini, membolehkan manusia untuk berinteraksi dengan alam secara benar dan serasi.

Sedangkan manhaj manusia yang direka-reka itu, keserasiannya dengan alam tidak wujud sama sekali. Inilah yang sebenarnya memandangkan akan keterbatasan kemampuan manusia itu sendiri. Mana mungkin mereka mampu untuk mencipta manhaj yang selari dengan alam sedangkan mereka tidak memiliki kemampuan dan ilmu mengenai alam?

Ambillah pelajaran dari contoh yang ditunjukkan oleh orang-orang yang beriman semasa pemerintah dunia dipegang oleh Islam. Tidakkah suasana aman dan tenteram pada masa itu menggambarkan keserasian manusia dan alam ini melalui manhaj yang unggul ini?

Lihatlah pula pada zaman sekarang bilamana tampuk pemerintahan dunia berada di tangan orang-orang yang kafir kepada Allah. Disebabkan perlaksanaan manhaj buatan sendiri, maka timbullah bermacam huru-hara di seluruh dunia, peperangan, kemiskinan, penindasan dan penjajahan. Bukankan bukti ini sudah mencukupi!

Dengan sebab-sebab inilah kita diwajibkan supaya berusaha untuk menegakkan manhaj yang unggul dari Allah ini di dalam kehidupan kita. Agar manusia dapat diarahkan kepada Tuhan yang satu dan kepada matlamat kewujudan mereka yang sebenar.

“Apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah? Padahal kepada-Nya-lah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi menyerahkan diri, sama ada dengan suka atau pun terpaksa, kepada-Nya-lah mereka akan dikembalikan.” [Aali Imran: 83]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s