Ringkasan Haza ad-deen (bhg. 1)

Haza ad-deen. Inilah Islam yang cuba dijelaskan oleh Sayyid Qutb melalui karangan ringkas beliau. Yang diterangkan bukanlah perkara yang menjadi tiang dan isi Islam (seperti akidah, ibadah, muamalah) tetapi yang cuba dibentangkan adalah sifat-sifat Islam (manhaj) itu. Dalam perbincangannya, erti Islam dibawa dalam bentuk kata ‘manhaj’, yang membawa maksud ‘jalan yang terang dan jelas’. Bukankah Islam itu merupakan ‘jalan yang terang lagi jelas’?

Dalam menjelaskan sifat-sifat manhaj ini, Sayyid Qutb hanya menjelaskan sebahagian sifat sahaja, memandangkan keringkasan karya yang ditulis tersebut. Antara yang cuba dihuraikan adalah:

1 – Manhaj untuk manusia
2 – Manhaj yang unggul
3 – Manhaj yang mudah
4 – Manhaj yang berkesan

Seterusnya, Sayyid Qutb membentangkan bagaimana sifat-sifat manhaj ini dilaksanakan dalam sejarah Islam dengan memanfaatkan beberapa aset kemanusian, yakni:

1 – Aset fitrah
2 – Aset pengalaman

Diikuti dengan perbincangan tentang beberapa garis panduan dan dasar utama ajaran Islam, yang dahulunya asing pada awal permulaannya, tetapi kini sudah sebati dalam kehidupan manusia. Walaupun Islam kini sudah kembali asing!

Sayyid Qutb menutup perbincangan ringkas dengan menggariskan langkah seterusnya yang seharusnya dilakukan dalam usaha melaksanakan manhaj ini di dunia realiti.

Manhaj Untuk Manusia

Membawa erti berjayanya manhaj ini dan terlaksananya manhaj ini di persada dunia, tidak dapat tidak, mesti melalui peran dan tabiat kemanusiaan. Yakni, terlaksananya manhaj ini adalah melalui usaha manusia, yang dilakukan menurut kemampuan manusia dan dengan mengambil kira realiti hidup manusia pada ketika proses perlaksanaan.

Salah fahamnya di kalangan manusia hari ini kerana mereka menyangka bahawa manhaj ini akan terlaksana secara mukjizat atau melalui kaedah luar biasa. Apa tidaknya, bukankah manhaj ini datangnya dari Allah? Bukankah Allah menguasai segala-galanya? Jadi, mengapa perlu mengambil kira kemampuan manusia?

Sungguh bukan tugas manusia menimbulkan persoalan sebegini. Benar Allah mampu menjayakan manhaj ini hanya dengan mengatakan, ‘Jadilah’. Tetapi, kerana adanya tujuan yang hanya Allah mengetahui, Allah menghendaki berjayanya manhaj ini dengan usaha dan kemampuan manusia, tanpa mengabaikan realiti semasa. Bukankah Allah yang menciptakan manusia dengan segala sifat kemanusiaannya, kemudian Allah menurunkan satu manhaj untuk manusia, maka mana mungkin akan terlaksana manhaj tersebut melalui kaedah luar biasa, yang luar dari sifat manusia?

Hayatilah firman Allah ini yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami.” [Al-Ankabut: 69]

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” [Ar-Ra’d: 11]

Sebelum Allah memimpin manusia ke jalan-Nya, Allah menghendaki manusia berusaha dengan sungguh-sungguh terlebih dahulu. Sebelum Allah mengubah keadaan manusia, Allah menghendaki manusia berusaha mengubah diri mereka dahulu.

Namun, perlu diingat, walaupun manhaj ini hanya dapat dicapai melalui usaha manusia, dengan mengambil kira keupayaan dan realiti hidup manusia, namun ini tidak bermakna manusia bebas sebebasnya dan terpisah daripada sebarang kuasa dan perancangan Allah. Ini juga tidak bermakna manusia tidak mendapat sokongan, bantuan dan tunjuk ajar Allah. Fahaman ini salah sama sekali.

Hayatilah kedua-dua ayat al-Quran sebelum ini. Kedua-duanya memahamkan kita hubungkait antara usaha yang dikeluarkan manusia dengan bantuan dan sokongan Allah. Hanya melalui usaha manusia yang bersungguh-sungguh itulah yang melayakkan mereka memperoleh sokongan, bantuan dan kejayaan dari Allah.

Beginilah sifat manhaj untuk manusia. Dengan menyakini sifat ini, maka manhaj ini yang dahulunya telah meneraju dunia, tidak mustahil untuk sekali lagi memimpin dunia, asalkan didahului dengan usaha yang bersungguh-sungguh tanpa mengabaikan kemampuan manusia dan realiti semasa. Di masa yang sama menyakini akan pertolongan dan petunjuk dari Allah.

akan bersambung pada bab ‘Manhaj Yang Unggul’, insyaAllah

One thought on “Ringkasan Haza ad-deen (bhg. 1)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s