Nilai Al-Quran di Hati Mu

Assalamualykum wbt,

Sebagai pembuka bicara, mari bersama kita memohon doa kepada Allah swt agar terus diberi kekuatan untuk beramal di bulan Ramadhan ini kerana barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tidak ada yang menyesatkannya, dan barangsiapa yang disesatkan maka tiada ada yang memberikannya petunjuk untuknya. Juga bersama kita mentajdid (memperbaharui) niat amal agar kita beribadah semata-mata kerana Allah bukan kerana musim ‘Ramadhan’.

Nuzul Quran

InsyaAllah, dalam beberapa hari saja lagi, yakni 17 Ramadhan, walaupun tarikh ini tidak berapa tepat, kebanyakan orang Islam akan menyambut hari Nuzul Quran. Kenapa dikatakan tidak berapa tepat? Kerana disebabkan oleh dalil-dalil berikut.

Allah swt berfirman,

“(Dan beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil).” (Al-Baqarah: 185)

Allah swt juga berfirman,

“Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.” (Al-Qadr: 1-3)

Jika kita meneliti kedua-dua ayat ini, sememangnya permulaan Al-Quran itu diturunkan dalam bulan Ramadhan namun ianya berlaku pada malam kemuliaan (lailatil qadr). Berkaitan dengan malam kemuliaan (lailatil qadr) pula, Rasulullah saw bersabda, “Carilah ia pada sepuluh malam yang terakhir!”[1]. Maka, adalah tidak tepat jika dikatakan 17 Ramadhan sebagai hari Nuzul Quran.

Adalah juga tidak tepat jika kita sebagai orang Islam menyambut hari Nuzul Quran hanya pada 17 Ramadhan. Ini kerana kita tidak mahu menjadi dan mencontohi orang-orang Kafir.

Mereka (yakni orang-orang Kafir) memiliki sistem kekeluargaan tetapi tidak mampu membentuk keluarga yang cemerlang disebabkan gagalnya mereka melahirkan ibu bapa yang cemerlang. Dari situ mereka turut gagal mendidik anak-anak yang taat dan menghormati orang tua mereka. Jadi, mereka memilih satu hari untuk dijadikan Hari Bapa dan Hari Ibu agar mereka dapat mengekspresikan rasa penghargaan terhadap kedua ibu bapa mereka.

Kita sebagai orang Islam, setiap hari adalah hari Bapa dan setiap hari adalah hari Ibu. Begitu juga dengan Al-Quran. Setiap hari adalah hari Nuzul Quran. Setiap hari adalah hari untuk bersama Al-Quran. Tetapi jika diperhati sekarang, kerana datangnya bulan Ramadhan, kenapa baru hendak bersama Al-Quran? Kenapa perlu ada hari-hari tertentu baru hendak bersama dengan Al-Quran? Hanya satu jawapannya, kerana kita tidak merasai apa sebenarnya Al-Quran itu.

Surat Cinta dari Siapa?

Cuba kita bayangkan. Kita sebagai manusia, masa depan kita di dunia ini belum pasti lagi. Kita boleh merancang tapi hala tuju masa depan kita belum tentu lagi berlaku. Begitu halnya tentang pertemuaan jodoh kita. Kita tidak tahu sama ada jodoh itu akan datang atau tidak. Kita tidak tahu adakah akan sampaikah masa kita bertemu pasangan kita dan berkahwin. Dan dalam kita kegelisahan serta hilang punca memikirkan hal tersebut, tiba-tiba datang surat cinta dari seorang secret admirer kita. Meluahkan rasa cinta dan kesudian menjadi pasangan hidup kita. Maka, bagaimanakah perasaan kita ketika itu? Sudah tentu gembira tiada taranya. Jika setiap hari menatap surat tersebut pun tidak apa. Lenyap segala kegusaran dan awan mendung yang tadinya menyelubungi kita.

Cuba juga kita bayangkan. Hidup kita ini hanya sementara dan ajal itu tidak kita ketahui bila masanya. Sedangkan amal kita tidaklah sempurna malah masih banyak cacat cela. Persoalan berlegar di minda. Layakkah kita masuk syurga dengan amal yang tidak seberapa ini? Atau adakah kita akan tergelincir jatuh ke dalam neraka yang seringan-ringan siksaan mampu mendidihkan otak. Dalam kita kelelahan memikirkan akan nasib kita di akhirat kelak dan Allah swt telah turunkan Al-Quran sebagai tanda kasih sayang-Nya kepada hamba-hamba-Nya, kenapa kita tidak sanggup hendak menghadap Al-Quran? Ketahuilah bahawa Al-Quran itu adalah surat cinta daripada Allah swt. Surat cinta yang menghapuskan segala kegundahan dan menerbitkan ketenangan.

Maka sepatutnyalah setiap hari-hari kita dipenuhi dengan bersama Al-Quran. Yang diturunkan oleh Allah swt yang berkuasa menjamin kita untuk memasuki syurga-Nya dan berkuasa meletakkan kita bersama Rasulullah saw di dalam syurga. Sudah pasti keutamaannya jauh lebih tinggi berbanding surat cinta dari wanita yang kita tidak kenali dan tidak dapat menjamin apa-apa kepada kita.

Realiti dan Fantasi

Abu Hasan Ali an-Nadwi dalam sebuah buku karangannya, meriwayatkan sebuah cerita seperti berikut:

Di sebuah negeri, terdapat seorang raja yang dihormati dan ditaati oleh rakyatnya. Maka raja tersebut memerintahkan para pekerjanya untuk membina sebuah tugu besar sebagai simbol yang melambangkan kewibawaannya. Maka berdirilah tugu besar tersebut dengan megahnya.

Pada suatu hari, datang seekor burung dan hinggap pada tugu besar tersebut kerana tertarik dengannya. Namun kerana kemendesakkan fitrahnya sebagai seekor burung, ia pun mengeluarkan segala isi perutnya dan najisnya pun melumuri serta mengotori tugu besar raja tersebut.

Dari kisah ini dapat diperhatikan bagaimana sesuatu yang realiti, yakni burung yang walaupun kecil, dapat menenggelamkan sesuatu angan-angan yang fantasi, yaitu tugu besar yang melambangkan kewibawaan namun tiada apa-apa makna.

Mari kita analisa situasi hari ini.

Dalam Al-Quran, Allah swt menyifatkan orang-orang kafir dengan sifat yang menentang kebenaran dengan bersungguh-sungguh sepertimana firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Cuba perhatikan orang-orang Yahudi dan Nasrani hari ini. Akan jelas pada kita mereka seperti apa yang digambarkan oleh ayat ini. Mereka benar-benar hidup dalam realiti.

Bagi orang mukmin pula, Allah swt menyifatkan mereka dengan sifat terpuji sepertimana firman-Nya dalam surah Al-Anfaal ayat 2 yang bermaksud Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. Namun seperti itukah sifat kita hari ini? Suasana itu benar-benar tidak nampak pada umat Islam hari ini. Kita seperti hidup di dunia fantasi.

Begitulah situasi kita hari ini. Walaupun pahit untuk ditelan namun itulah hakikatnya. Segala-galanya bermula dengan bagaimana kita meletakkan nilai Al-Quran itu dalam diri kita sebagai orang Islam. Tepuk dada, tanyalah iman. Apakah nilai Al-Quran di hati mu?

Sumber: Olahan dari tazkirah Ramadhan oleh Ustaz Uzair

Nota Kaki:
[1] Hadis riwayat Bukhari dalam Kitab Fadhilah Malam Lailatul Qadar, bab: Mencari lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir yang ganjil, no. (2021). Muslim dalam Kitab Puasa, bab: Fadhilah malamlailatul qadar dan motivasi untuk mencarinya, no. (1165)(210).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s