Up-2-Date

Mengikuti berita dakwah dan perkembangannya (up-2-date) merupakan salah satu kewajipan bagi para dai’e.
Di antara tugas ilmiah yang harus dilakukan oleh para dai’e ilallah, diperhatikan, dan disempatkan adalah mengikuti berita tentang dakwah dan perkembangan terakhir yang terjadi padanya (up-2-date). Berita dan perkembangan dakwah terkini itu sangat memungkinkan terkait dengan perjalanan dakwah di masa akan datang, baik berita yang positif mahupun negatif.
Bagaimana mungkin para dai’e ilallah dikatakan setia terhadap dakwah, sementara para dai’e ilallah tidak mengikuti perkembangannya. Orang-orang yang beriman itu ibarat satu tubuh. Jika salah satu anggota tubuhnya merasa sakit, maka anggota tubuh yang lainnya akan ikut merasa sakit.
Mengikuti berita adalah bukti kesetiaan
Mengikuti berita dan perkembangan dakwah merupakan bukti kesetiaan seorang mukmin. Kesetiaan merupakan pagar yang membatasi para para dai’e ilallah dalam menyikapi keadaan dalam hidupnya. Kesetiaan juga mengharuskan terhasilnya sikap takaful (saling menanggung beban) di antara para dai’e. Demikian pula mendengarkan berita dakwah dan mengetahui berita para ahlinya, sehingga menumbuhkan sikap tafahum (saling memahami) dengan lebih mudah dan mendorong untuk lebih cepat melaksanakan arahan dan tugas-tugas dakwah.
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebagian mereka menjadi penolong bagi sebagian yang lain…” [at-Taubah, 9:71]
Para mujahid yang melaksanakan amanah dakwah ini berhak mendapatkan hak kesetiaan dari para dai’e. Kerana itu, mereka berhak untuk diketahui beritanya agar kita bisa membantunya pada saat kita memiliki kemampuan. Allah Ta’ala berfirman,
“Sesungguhnya, orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya di jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Muhajirin), mereka itu satu sama lain saling melindungi. Dan (terhadap) orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajipan sedikitpun atasmu untuk melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah. (Akan tetapi) jika mereka meminta pertolonganmu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” [al-Anfal, 8:72]
Dari mana para dai’e ilallah mendapatkan berita?
Sumber utama berita tentang dakwah dan perkembangannya adalah media yang dipercaya yang dikeluarkan oleh dakwah. Adapun kesimpulan berita yang dipercaya adalah yang disampaikan oleh qiyadah (pimpinan) dakwah. Tidak sepatutnya bagi kita menyimpulkan berita dari hasil mendengar di TV atau akhbar, kerana musuh-musuh dakwah yang benci selalu ingin menyebarkan racun dalam dakwah ini dan membesar-besarkan kemarahan mereka sehingga dapat memorak-porandakan berisan dakwah.
Jangan membuang waktu
Mengikuti berita tentang perkembangan dakwah, kegiatan-kegiatannya, prestasi-prestasi yang dicapainya, harus ada batasannya, sehingga tidak membuang banyak waktu para dai’e ilallah yang sangat mahal ini. Terkadang, para para dai’e menghabiskan waktunya berjam-jam, berpindah-pindah dari satu media ke media yang lain, mulai dari parabola, berita TV dan Internet, untuk mencari berita ini dan kejadian itu. Terkadang juga, rela menghabiskan waktu untuk duduk membaca akhbar. Ingat, waktu para para dai’e itu mahal dan sangat berharga.

Perkembangan teknologi dan kemajuan zaman moden membolehkan para dai’e mengakses berita dan maklumat terus dari telefon bimbitnya. Jika tidak pandai diurus akan banyaklah masa yang digunakan.
Berkembangnya berbagai media informasi seperti sekarang ini, kalau kita tidak pandai dan bijak menggunakannya, boleh menyebabkan waktu terbuang sia-sia. Apabila dituruti, semua media informasi itu menuntut untuk diikuti dan dibaca, dan itu memerlukan waktu yang tidak sedikit. Kalau demikian, maka tidak ada waktu lagi untuk melaksanakan kewajipan yang lain.
Kaedah yang praktikal
Meletakkan sela-sela waktu yang tertentu untuk mengikuti berita dakwah dan perkembangannya, akan sangat membantu para dai’e dalam penyusunan masa. Dua jam seminggu disediakan, sudah memadai. Harus juga diletakkan keutamaan dalam sumber informasi. Pendapat dan penerangan pimpinan dakwah terhadap isu semasa harus didahulukan. Dari mereka juga para dai’e boleh mengetahui akan sumber yang sahih dan dipercaya. Jika tiada pandangan dari pimpinan dakwah terhadap perkembangan suatu isu, maka janganlah terburu-buru dalam membuat kesimpulan dan menyatakan pendirian.
Semoga yang sedikit kita lakukan secara berkala, ikhlas kerana Allah, dapat meneguhkan keyakinan dan kesetiaan kita pada jalan dakwah, menuju syurga Allah.
Nota: Olahan dari tulisan asal Muhammad Abduh dalam kitab Memperbaharui Komitmen Dakwah
1.57 billion: Antara Kualiti dan Kuantiti
Jumlah penganut agama Islam di seluruh dunia kini sudah mencecah angka 1.57 billion, atau kira-kira satu perempat daripada keseluruhan populasi global. Demikian perangkaan terkini yang diperolehi hasil daripada kajian Pew Forum on Religion and Public Life (Forum Pew Agama dan Kehidupan Awam), sebuah badan ’think-tank’ yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Kajian yang memakan masa selama tiga tahun itu turut mendedahkan beberapa dapatan dan fakta yang menarik mengenai taburan penduduk Islam. Contohnya, satu perlima daripada keseluruhan penganut Islam tinggal di negara-negara yang majoriti penduduknya bukan Islam. Ini termasuk Jerman yang didapati mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Lebanon.
Perkembangan positif ini jelas membuktikan penerimaan masyarakat di seantero dunia terhadap agama Islam meskipun pelbagai fitnah dan tohmahan telah cuba dilontarkan oleh musuh-musuh Islam. Dengan jumlah penganut yang meliputi 25% daripada keseluruhan penduduk dunia, kewujudan umat Islam di pentas global cukup signifikan dan suara mereka sama sekali tidak boleh dipinggirkan.
Dalam arus persaingan kuasa dan pengaruh hari ini, bilangan penganut yang ramai ini merupakan satu aset kekuatan yang amat berpotensi untuk menjadikan umat Islam sebagai satu bangsa yang dominan. Sekiranya 1.57 billion individu ini mampu bersatu di atas satu matlamat, nescaya umat Islam berupaya untuk bangkit sebagai satu kuasa pendesak atau pengimbang kuasa kepada negara-negara besar.
Bahkan sebenarnya nisbah seorang muslim bagi setiap empat orang tersebut sudahpun melebihi syarat kemenangan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. iaitu seorang muslim (yang sabar) kepada sepuluh orang kafir. Ukuran kekuatan berasaskan bilangan ini sekaligus menunjukkan kepentingan nilai kuantiti dalam konteks perjuangan dakwah Islam. Hal ini terkandung di dalam firmanNya yang bermaksud:
”Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti” (Al-Anfaal: 65).
Jika diukur dari segi nilai kuantiti, memang benar umat Islam memiliki kekuatan yang ampuh. Namun bilangan semata-mata bukan jaminan untuk meraih kemenangan sebagaimana acapkali dibuktikan oleh sejarah. Allah s.w.t sendiri selain meletakkan kayu ukur kekuatan dari segi kuantiti, turut menggariskan kriteria atau kualiti seorang muslim yang mampu berhadapan sepuluh orang musuh iaitu mukmin yang sabar.
Di sini penulis ingin mengajak para pembaca sekalian untuk sama-sama menilai kekuatan dan kualiti umat Islam dalam segenap aspek. Proses penilaian atau muhasabah ini penting untuk kita mendapat gambaran kekuatan umat Islam yang sebenar hari ini, supaya unsur-unsur kekuatan dapat dimanfaatkan sebaiknya sementara unsur-unsur kelemahan dapat diperbaiki mutunya.
1) Kekuatan politik – Umat Islam kini diibaratkan seperti ’anak ayam kehilangan ibu’ selepas jatuhnya khilafah Islamiyyah pada tahun 1924. Setelah itu wilayah Islam terpecah menjadi negara-negara kecil yang terpisah dari sudut geografi, pentadbiran dan identiti. Pergolakan politik merupakan senario biasa di kebanyakan negara Islam. Di sesetengah negara pula, golongan bukan Islam yang menguasai pentadbiran dalaman negara sementara pemimpin Islam sekadar menjadi boneka.
2) Kekuatan ekonomi – Negara-negara Islam khususnya di Asia Barat merupakan negara yang terkaya di dunia dengan pelbagai sumber ekonomi. Namun segala kekayaan ini seringkali dieksploitasikan oleh golongan bukan Islam akibat tiadanya kepakaran mahupun kemahuan untuk membangunkan sendiri sumber ekonomi yang melimpah ruah ini. Di kebanyakan negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, pencapaian ekonomi umat Islam masih jauh ketinggalan.
3) Kekuatan ilmu dan teknologi – Sejarah menukilkan bahawa para cendekiawan Islam adalah pelopor kepada ilmu-ilmu moden seperti kejuruteraan, perubatan, astronomi, fizik, kimia, matematik, ekonomi dan sebagainya. Namun kini umat Islam jauh ketinggalan dalam bidang ilmu pengetahuan hingga sekadar menjadi penuntut kepada pakar-pakar bukan Islam di negara-negara bukan Islam. Umat Islam juga lebih selesa menjadi pengguna teknologi semata-mata, bukannya peneroka teknologi baru.
4) Kekuatan budaya – Sejak era Ghazwul Fikr lagi, Barat telah berusaha menyogokkan nilai-nilai dan budaya jahiliyyah kepada umat Islam melalui pelbagai mekanisme seperti pendidikan, media massa dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk memalingkan umat Islam daripada cara hidup Islam yang sebenar. Implikasi yang dapat dilihat ketika ini ialah keterlarutan umat Islam dengan unsur-unsur hiburan yang melalaikan, sekaligus menjauhkannya daripada ruh jihad dan perjuangan memartabatkan Islam.
5) Kekuatan ketenteraan dan persenjataan – Umat Islam hari ini bukan saja diserang hebat dari segi budaya dan pemikiran, bahkan musuh-musuh Islam turut menekan sesetengah negara Islam dengan menggunakan kekuatan ketenteraan atas alasan memerangi ’terrorisme’. Kebanyakan negara Islam juga masih lagi memiliki kebergantungan terhadap kuasa-kuasa Barat sama ada dari aspek tenaga ketenteraan dan teknologi persenjataan.
6) Kekuatan ukhuwwah – Kesatuan umat Islam semakin terhakis oleh perasaan kebanggaan yang berpaksikan kenegaraan, kebangsaan, kedaerahan serta kesukuan yang telah membawa kepada perpecahan dan permusuhan sesama sendiri. Musuh-musuh Islam pula telah berjaya memprogramkan mentaliti dan rutin kehidupan orang-orang Islam agar disibukkan dengan keperluan diri sendiri sehingga hilang keprihatinan terhadap saudara-saudara seIslam di sekeliling mereka.
7) Kekuatan akhlak – Sistem kehidupan jelmaan Barat yang dipraktikkan oleh umat Islam telah mengundang kepada krisis keruntuhan akhlak yang begitu kritikal. Orang-orang Islam seolah-olah sudah hilang sensitiviti terhadap prinsip-prinsip akhlak Islam, sehingga tidak mampu membezakan antara kebaikan dan kemungkaran. Lebih merisaukan ialah berleluasanya unsur-unsur maksiat dan penzinaan yang dikhuatiri akan menghancurkan generasi Islam pada masa hadapan.
Berdasarkan analisa kekuatan dan kelemahan di atas, dapat disimpulkan bahawa umat Islam hari ini mungkin gah dari segi nilai kuantiti tetapi rapuh dari segi nilai kualiti. Justeru tidaklah menghairankan jika umat Islam ketika ini ketinggalan dalam arus persaingan dengan bangsa-bangsa yang lain. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat r.a. tentang umat akhir zaman yang bermaksud:
”Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya, ”Apakah kerana jumlah kami yang sedikit pada hari itu?” Nabi s.a.w. menjawab,”Bahkan pada hari itu jumlah kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut ‘rasa gentar’ terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Seorang sahabat bertanya, ”Apakah al-wahn itu, ya Rasulullah?” Rasulullah s.a.w. menjawab, ”Cinta dunia dan takut mati” (HR Abu Dawud dan Ahmad).
Pelbagai simptom boleh dikenalpasti terhadap kelemahan umat Islam seperti cintakan dunia, malas berusaha, tiada wawasan hidup, gemarkan keseronokan, hasad dengki, kecetekan ilmu, muflis akhlak, gila kuasa dan sebagainya. Namun pada hakikatnya, masalah utama adalah berpunca daripada kelemahan jiwa umat Islam yang tandus daripada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.
Justeru apa yang menjadi keutamaan sekarang ialah membina semula kekuatan umat Islam bertunjangkan keutuhan iman dan akidah yang berpaksikan ajaran Islam yang sebenar. Tiada guna kita bermegah dengan angka 1.57 billion yang besar tetapi nilainya tidak seberapa. Bak kata Syakib Arsalan Rahimahullah, seorang da’i ulung yang hidup di zaman kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah:
”Banyak surat sampai kepadaku sama ada dari Morocco, Jawa, Mesir, Syria, Iraq dan Palestin. Penulis-penulisnya mencadangkan agar diadakan satu Muktamar Islam, atau melantik seorang Khalifah atau perkara-perkara yang seumpama dengannya. Namun seperti biasa aku akan menjawab: ”Kita wajib memulakan usaha Islam ini dari bawah, iaitu melalui TARBIYYAH INDIVIDU. Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apa faedahnya berbuat demikian? Adakah kamu mahu kami mengumpulkan angka-angka kosong?”
Dari satu sudut kita sememangnya berbangga dengan bilangan penganut Islam yang besar dan tetap berterusan dengan kerja-kerja dakwah untuk menarik lebih ramai manusia kepada Islam. Namun yang lebih penting lagi ialah usaha-usaha pembinaan dan pentarbiyyahan peribadi-peribadi muslim yang berkualiti untuk mengembalikan semula kedudukan Islam di persada yang selayaknya.
Artikel adalah hasil tulisan Akh Firdaus Sabturani, Media ISMA
Perang Badar al-Kubra: Ringkasan Peristiwa (Siri 1)
Assalamualykum wa rahmatullah,
Segala puji hanya bagi Allah semata – subhanallah,
Merupakan kewajipan bagi setiap muslim (jika mengakui sedemikian) untuk mempelajari susur hidup perjalanan tauladan manusia, Muhammad saw. Dikeranakan Muhammad saw merupakan sebaik-baik gambaran pada penghayatan dan aplikasi Islam dalam kehidupan, sebagaimana dinukilkan dalam al-Quran dan periwayatan hadis.
Dan salah satu daripada sisi perjalanan ini yang wajib kita telaah adalah peperangan yang disertai oleh Rasulullah saw bersama para sahabatnya. Ini kerana sebahagian ayat al-Quran yang diturunkan adalah berkaitan dengan peristiwa perang dan memerlukan pengetahuan akan hal peristiwa perang untuk memahami maksud ayat-ayat tersebut.
Dan di antara banyak perang yang disertai Rasulullah saw bersama sahabatnya adalah perang Badar al-Kubra. Perang ini berlangsung dua tahun selepas hijrah dalam bulan Ramadhan dan merupakan peperangan paling penting dalam sejarah umat Islam. Ia merupakan perang al-furqan (pembeda) yang memisahkan antara yang haq dan yang batil; antara yang beriman dan yang kafir, di samping merupakan perkhabaran kepada dunia akan kewujudan dunia Islam dalam suasana yang ketika itu dipenuhi kefasadan.
Perang Badar al-Kubra merupakan susulan daripada perlaksanaan perintah Allah swt agar kaum Muslimin mengangkat senjata sebagai pertahanan diri. Maka perang ini bukanlah sekadar tindakan kaum Muslimin yang selama ini ditindas, malah ianya lebih dari itu. Ia adalah ibadah atas dasar tunduk patuh pada perintah Allah swt.
Ringkasan Perang Badar al-Kubra
Mendengar berita mengenai rencana kedatangan kafilah perdagangan kaum Quraisy dari Syam di bawah pimpinan Abu Sufyan bin Harb, Rasulullah saw mengajak kaum Muslimin langsung di bawah pimpinannya untuk memintas dan menghalang kafilah tersebut dengan sebab sebagai ganti atas kekayaan mereka yang dirampas oleh sebahagian kaum Musyrikin di Makkah. Anjuran Rasulullah saw ini hanya disahut oleh sebahagian kaum Muslimin kerana sebahagian yang lain menyangka tidak akan terjadinya peperangan.
Di tengah perjalanan menuju Mekkah, Abu Sufyan mendengar bahawa kafilahnya akan dihadang oleh kaum Muslimin. Maka dihantarkannya seorang utusan bernama Dhamdham bin Amir al-Ghiffari ke Mekkah untuk menyampaikan berita kepada kaum Quraisy dan meminta bantuan pasukan untuk menyelamatkan harta kekayaan mereka. Setelah mendengar berita ini, seluruh kaum Quraisy dengan serta merta mempersiapkan diri, bersiap penuh dan berangkat keluar dengan tujuan perang. Tak seorang pun dari tokoh Quraisy yang tertinggal dari keberangkatan pasukan yang berjumlah 1000 orang kecuali Abu Lahab.
Sementara itu, menurut riwayat Ibnu Ishaq, Rasulullah saw keluar bersama 314 sahabatnya pada suatu malam di bulan Ramadhan dengan membawa 70 ekor unta. Setiap unta ditunggangi secara bergantian oleh dua atau tiga orang. Mereka tidak mengetahui akan keberangkatan bala bantuan kaum Quraisy tersebut. Dlam pada itu, kafilah Abu Sufyan telah berhasil meloloskan diri dan menyusuri air mata Badar dengan melalui jalan persisir pantai menuju ke arah Mekkah. Akhirnya ia berhasil menyelamatkan kafilah dan perniagaannya dari ancaman bahaya.
Setelah mendengar keberangkatan kaum Quraisy, Rasulullah saw segera meminta pandangan dari para sahabatnya. Kaum Muhajirin mendokong dan memandang baik pendirian Baginda. Di antaranya al-Miqdad bin Amir dengan tegas menyatakan: “Ya Rasulullah, laksanakanlah apa yang diperintahkan Allah kepada anda. Kami tetap bersama anda.” Tetapi Rasulullah saw terus memandang ke arah mereka dan berkata: “Kemukalah pandangan kalian kepadaku, wahai manusia.” Kemudian Sa’ad bin Mu’adz menjawab: “Demi Allah, nampaknya anda menghendaki ketegasan sikap kami wahai Rasulullah.” Nabi saw menjawab: “Benar!” Sa’ad berkata: “Kami telah beriman kepada anda dan kami pun membenarkan kenabian dan kerasulan anda. Kami juga telah menjadi saksi bahawa apa yang telah anda bawa adalah benar. Atas dasar itu kami telah menyatakan janji dan kepercayaan kami untuk sentiasa taat dan setia kepada anda. Laksanakanlah apa yang anda kehendaki, kami tetap bersama anda. Demi Allah, seandainya anda menghadapi lautan dan terjun ke dalamnya, kami pasti akan terjun bersama anda.”
Mendengar jawapan Sa’ad itu, Rasulullah saw merasa puas dan senang, kemudian Baginda memerintahkan:
“Berangkatlah dengan hati gembira, kerana sesungguhnya Allah swt telah menjanjikan kepadaku salah satu di antara dua golongan. Demi Allah, aku seolah-olah melihat tempat-tempat mereka bergelimpangan.”
Setelah itu Rasulullah saw mulai mencari berita tentang pasukan kaum Quraisy melalui para perisik yang disebarkan, sehingga kaum Muslimin mengetahui bahawa mereka berjumlah sekitar 900 ke 1000 orang dan bahawa mereka datang disertai oleh hampir seluruh tokoh kaum Musyrikin.
Sebenarnya Abu Sufyan telah mengirimkan seorang utusan kepada pasukan Musyrikin memberitahukan bahawa kafilahnya telah selamat. Tetapi Abu Jahal tetap berkeras untuk melanjutkan perjalanan, lalu berkata:
“Demi Allah, kami tidak akan pulang sebelum tiba di Badar. Di sana kami akan tinggal selama tiga hari, memotong ternak, makann beramai-ramai dan minum arak sambil menyaksikan perempuan-perempuan menyanyikan lagu-lagu hiburan. Biarlah seluruh Arab mendengar tentang perjalanan kita semua dan biarlah mereka tetap gentar kepada kita selama-lamanya.”
Kemudian mereka bergerak sampai tiba di pinggir sebelah seberang lembah Badar. Sedangkan Rasulullah saw telah tiba di pinggir lembar seberang lain dengan posisi nyaris berhadapan dengan lawan, dekat mata air Badar. Habbab bin Mundzir bertanya kepada Nabi saw:
“Ya Rasulullah, apakah dalam memilih tempat ini anda menerika wahyu dari Allah swt yang tidak dapat diubah lagi? Ataukah berdasarkan tipu muslihat peperangan?” Rasulullah saw menjawab, “Tempat ini ku pilih berdasarkan pendapat dan tipu muslihat peperangan.” Habbab mengusulkan, “Ya Rasulullah, jika demikian, ini bukan tempat yang tepat. Ajaklah pasukan berpindah ke tempat air yang berdekatan dengan musuh, kita membuat kubu pertahanan di sana dan menggali sumur-sumur di belakangnya. Kita membuat kubangan dan kita isi dengan air hingga penuh. Dengan demikian kita akan berperang dengan keadaan mempunyai persediaan air minum yang cukup, sedangkan musuh tidak memperoleh air minum.” Rasulullah saw menjawab, “Pendapat mu sungguh baik.”
Rasulullah saw kemudian bergerak dan pindah ke tempat yang diusulkan oleh Habbab ra.[1]
Di samping itu Sa’ad bin Mu’adz mengusulkan supaya dibuatkan kemah untuk Nabi saw sebagai tempat perlindungan dengan harapan supaya bila ada sesuatu dan hal yang tidak diharapkan terjadi, Nabi saw dapat kembali dengan mudah dan selamat kepada kaum Muslimin di Madinah dan agar mereka tidak lemah semangat kerana ketidakberadaan Nabi saw di antara mereka. Usulan ini dipersetujui oleh Nabi saw. Kemudian Rasulullah saw menenangkan jiwa para sahabatnya dengan adanya dukungan dan pertolongan Allah swt, sampai-sampai Rasulullah saw menegaskan kepada mereka: “Di sini tempat kematian si Fulan dan si Fulan (dari kaum Musyrikin)”, seraya meletakkan tapak tangannya di atas tanah. Akhirnya nama-nama yang disebutkan Nabi saw itu ternyata benar bergelimpangan tepat di tempat yang telah ditunjukkan itu.[2]
Selanjutnya Rasulullah saw dengan khusyuk memanjatkan doa kepada Allah swt pada malam Jumaat tanggal 17 Ramadhan. Di antara doa yang diucapkan adalah:
“Ya Allah, inilah kaum Quraisy yang datang dengan segala kecongkakan dan kesombongannya untuk memerangi Engkau dan mendustakan Rasul-Mu. Ya Allah, tunaikanlah janji kemenangan yang telah Engkau berikan kepadali. Ya Allah, kalahkan mereka esok hari.”
Beliau terus memanjatkan doa kepada Allah swt dengan merendahkan diri dan khusyuk seraya menengadahkan kedua telapak tangannya ke langit, sehingga kerana merasa iba Abu Bakar berusaha menenangkan hati Nabi saw dan berkata kepadanya: “Ya Rasulullah, demi diriku yang berada di tangan-Nya, bergembiralah. Sesungguhnya Allah pasti akan memenuhi janji yang telah diberikan kepadamu.”
Demikian pula kaum Muslimin, mereka ikut berdoa kepada Allah swt memohon pertolongan dengan penuh ikhlas dan merendah diri di hadapan-Nya.[3]
Pada suatu pagi Jumaat, tahun kedua Hijrah, mulailah pertempuran antara kaum Musyrikin dan kaum Muslimin. Memulai pertarungan ini, Rasulullah saw mengambil segenggam kerikil kemudian dilemparkan kea rah kaum Quraisy seraya berkata: “Hancurlah wajah-wajah mereka”, kemudian meniupkannya ke arah mereka sehingga menimpa mata semua pasukan Quraisy. Selain itu, Allah swt juga mendokong kaum Muslimin dengan mengirim bala bantuan malaikat.[4] Akhirnya peperangan dimenangkan oleh kaum Muslimin dengan suatu kemenangan yang besar. Dari pihak kaum Musyrikin, terbunuh 70 orang dan tertawan 70 orang. Sedangkan dari pihak kaum Muslimin gugur menggapai syahid 14 orang.
Mayat-mayat kaum Musyrikin yang terbunuh dalam peperangan ini –termasuk para tokoh mereka- dilemparkan ke dalam sumur tua di Badar. Ketika mayat-mayat itu dilemparkan ke dalamnya, Rasulullah saw berdiri di mulut perigi itu seraya berkata memanggil nama-nama mereka berikut nama bapak-bapaknya:
“Wahai Fulan bin Fulan! Wahai Fulan bin Fulan! Apakah kalian telah berbahagia kerana kalian telah menaati Allah swt dan Rasul-Nya? Sesungguhnya kami telah menerima kebenaran janji Allah swt yang diberikan kepada kami; apakah kalian juga telah menyaksikan kebenaran janji Allah swt kepada kalian?”
Mendengar ini Umar ra bertanya: “Ya Rasulullah, kenapa anda mengajak bicara jasad yang sudah tidak bernyawa?” Beliau menjawab:
“Demi Dzat yang diri Muhammad berada di tangan-Nya, kalian tidak lebih mendengar perkataanku daripada mereka.”[5]
Kemudian Rasulullah saw meminta pendapat para sahabatnya berkenaan dengan masalah tawanan. Abu Bakar ra mengusulkan supaya Nabi saw membebaskannya dengan cara mengambil tebusan dari mereka sehingga harta tebusan itu diharapkan menjadi pasak kekuatan material bagi kaum Muslimin, disertai harapan mudah-mudahan Allah swt menunjuki mereka. Sementara Umar bin Khattab ra mengusulkan supaya mereka dibunuh saja, kerana mereka adalah tokoh dan kepala kekafiran. Tetapi Nabi saw cenderung kepada pendapat dan usulan Abu Bakar yang member belas kasihan kepada mereka dan mengambil tebusan. Akhirnya pendapat ini dilaksanakan oleh Nabi saw. Tetapi beberapa ayat al-Quran kemudian diturunkan menegur kebijaksanaan Nabi saw tersebut, mendokong pendapat Umar. Firman Allah swt yang bermaksud: “Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi” sampai kepada ayat yang bermaksud “Maka makanlah dari sebagian rampasan perang yang telah kamu ambil itu.” (al-Anfal [8]: 67-69)[6]
Perang Badar al-Kubra dari filem The Message
Ibrah dan Pengajaran
InsyaAllah akan dikongsi dalam kiriman seterusnya.
Nota Kaki:
[1] Ibnu Hisyam di dalam Sirah-nya meriwayatkan hadis Habbab bin Mundzir ini dari Ibnu Ishaq dari orang-orang Bani Salmah. Dengan demikian, apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam ini adalah riwayat dari orang-orang majhul (tidak diketahui). Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan hadis ini di dalam al-Ishabah dan diriwayatkan dari Ibnu Ishaq dari Yazid bin Ruman dari ‘Urwah bin Zubair, di dalam kisah Badar. Sanad ini Shahih. Al-Hafiz Ibnu Hajar adalah seorang yang dapat dipercaya (tsiqah) dalam mengutip dan meriwayatkan. Lihat al-Ishabah, 1/302.
[2] Diriwayatkan oleh Muslim, 6/170.
[3] Ibnu Hisyam 1/205, Zadul Ma’ad 2/87 dan hadis istighatsah Rasulullah saw kepada Allah swt di dalam perang Badar adalah Muttafaq ‘alaih.
[4] Hadis tentang dokongan Allah swt kepada kaum Muslimin dengan mengirimkan malaikan diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
[5] Bukhari 5/8, Muslim seperti 8/163.
[6] Shahih Muslim, 5/157-158.




